Parkir KLIA terhad, penonton F1 disaran guna pengangkutan awam

1 Oct 2026 • 5:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Parkir KLIA terhad, penonton F1 disaran guna pengangkutan awam

PETALING JAYA: Pengunjung yang akan menghadiri Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam susulan jangkaan peningkatan mendadak trafik dan pergerakan kenderaan.

Lebih 200,000 penonton dijangka membanjiri SIC sepanjang tiga hari perlumbaan, dengan jumlah kehadiran harian dijangka melebihi 100,000 orang.

Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) berkata, ruang parkir di Terminal 1 Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA Long Term Car Park amat terhad serta dijangka penuh seawal setiap hari.

“Sehubungan itu, pengunjung F1 dinasihatkan supaya tidak memandu ke KLIA untuk meletakkan kenderaan sebelum meneruskan perjalanan ke SIC, sebaliknya merancang perjalanan menggunakan pengangkutan alternatif.

“Pengunjung digalakkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan perkhidmatan Express Rail Link (ERL), termasuk KLIA Ekspres dan KLIA Transit, selain perkhidmatan e-hailing untuk ke Terminal 1 dan 2 KLIA,” katanya dalam kenyataan.

Bagi memudahkan pergerakan penonton, perkhidmatan bas ulang-alik percuma ke SIC disediakan dari Terminal 2 KLIA, KLIA Long Term Car Park dan Mitsui Outlet Park KLIA.

Dalam pada itu, penumpang yang mempunyai penerbangan sepanjang tempoh perlumbaan turut dinasihatkan memperuntukkan masa perjalanan tambahan ketika menuju ke lapangan terbang berikutan jangkaan kesesakan di laluan utama menuju KLIA.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pengalihan trafik dari 8 pagi hingga 11 malam setiap hari sepanjang tempoh tiga hari acara berkenaan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif yang ditetapkan, manakala penumpang digalakkan menyemak maklumat terkini mengenai trafik dan perjalanan daripada KLIA, PDRM dan SIC sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

KLIA berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa serta pemegang taruh berkaitan bagi melancarkan aliran trafik dan memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar sepanjang hujung minggu perlumbaan. –UTUSAN

The post Parkir KLIA terhad, penonton F1 disaran guna pengangkutan awam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved