liza01/10/2026 - 11:25 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Okt – Malaysia Airports menasihatkan penonton Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) supaya menggunakan pengangkutan awam berikutan jumlah pengunjung dan pergerakan kenderaan dijangka meningkat dengan ketara sepanjang perlumbaan dari 2 hingga 4 Oktober 2026.
Pengunjung disaran merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan perkhidmatan Express Rail Link (ERL), termasuk KLIA Ekspres dan KLIA Transit, serta perkhidmatan e-hailing untuk ke Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,
Malaysia Airports berkata, tempat letak kereta di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kawasan parkir KLIA sangat terhad serta dijangka penuh lebih awal setiap hari.
"Lebih 200,000 penonton dijangka hadir ke SIC sepanjang tiga hari acara berkenaan berlangsung dengan jumlah pengunjung harian dijangka melebihi 100,000 orang.
“Sehubungan itu, penonton F1 dinasihatkan supaya tidak memandu ke KLIA dengan tujuan meletakkan kenderaan di lapangan terbang sebelum meneruskan perjalanan ke SIC," katanya dalam satu kenyataan.
Pengangkutan awam dan bas percuma disediakan
Bagi penonton yang menghadiri perlumbaan F1, perkhidmatan bas ulang-alik percuma ke SIC akan disediakan dari Terminal 2 KLIA, kawasan parkir KLIA dan Mitsui Outlet Park KLIA.
Malaysia Airports turut mengingatkan penumpang yang mempunyai penerbangan sepanjang hujung minggu F1 supaya memperuntukkan masa perjalanan tambahan ketika menuju ke lapangan terbang.
Ini kerana kesesakan trafik dijangka berlaku di jalan utama yang menghubungkan KLIA, terutama ketika jumlah pergerakan kenderaan meningkat sepanjang tempoh perlumbaan.
Lencongan trafik dari 8 pagi hingga 11 malam
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan lencongan trafik dari jam 8 pagi hingga 11 malam setiap hari sepanjang acara tiga hari berkenaan.
Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif sekiranya diarahkan pihak berkuasa bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di sekitar kawasan Sepang dan KLIA.
Penumpang juga disaran menyemak maklumat terkini berkaitan keadaan trafik dan perjalanan daripada KLIA, PDRM serta SIC sebelum memulakan perjalanan.
Malaysia Airports berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pemegang taruh berkaitan bagi membantu melancarkan aliran trafik serta mengutamakan kelancaran pergerakan penumpang sepanjang hujung minggu perlumbaan. - DagangNews.com






