Parlimen Malaysia ‘diserbu’ rakyat

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 12:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Parlimen Malaysia ‘diserbu’ rakyat

KUALA LUMPUR: Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026 mendapat sambutan luar biasa apabila orang ramai mula memenuhi Kompleks Parlimen seawal pukul 7 pagi, jauh lebih awal daripada jangkaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sambutan pada tahun ini amat menggalakkan apabila jumlah pengunjung dijangka mencecah 10,000 orang berbanding hanya sekitar 2,000 pengunjung yang direkodkan sepanjang dua penganjuran sebelum ini.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan minat tinggi rakyat untuk melihat sendiri serta merasai suasana di institusi perundangan tertinggi negara.

“Inilah hari yang ditunggu-tunggu oleh rakyat, khususnya untuk dapat melihat dan merasai sendiri. Bukan sahaja melihat bangunan Parlimen, tetapi memahami intipati apa yang berlaku di dalam Parlimen,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Johari, semangat Hari Terbuka Parlimen perlu turut disemai dalam kalangan pentadbir Parlimen supaya mereka memahami bahawa institusi itu bukan berada ‘di kayangan’, sebaliknya perlu sentiasa dekat dengan rakyat.

Katanya, usaha mendekatkan Parlimen dengan rakyat perlu dilaksanakan secara berterusan, seiring dengan peranan Speaker Dewan Negara dalam memperkukuh hubungan institusi itu dengan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata, pihaknya mahu membina hubungan lebih dekat antara Parlimen dengan rakyat selaras dengan tema Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026, iaitu ‘Merakyatkan Parlimen’.

Katanya, kekuatan sesebuah Parlimen bukan hanya bergantung kepada apa yang berlaku di dalam Dewan, tetapi turut bergantung kepada sejauh mana rakyat memahami, mempercayai dan merasakan institusi itu adalah milik mereka.

“Kekuatan sesebuah Parlimen bukan hanya bergantung kepada apa yang berlaku di dalam Dewan. Ia juga bergantung kepada sejauh mana rakyat memahami, mempercayai dan merasakan bahawa institusi ini adalah milik mereka.

“Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah tempat suara rakyat diterjemahkan melalui proses demokrasi, di mana undang-undang negara dibahaskan dan diluluskan, dasar kerajaan diteliti, perbelanjaan wang awam diperiksa dan kerajaan dipertanggungjawabkan melalui wakil rakyat,” katanya.

Ahmad Husaini berkata, Parlimen bukan milik mana-mana pihak tertentu, sebaliknya merupakan amanah yang dipegang bagi pihak rakyat Malaysia.

Beliau turut menyentuh mengenai Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh institusi Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, reformasi tidak boleh terhenti pada aspek undang-undang, struktur atau pentadbiran semata-mata, sebaliknya perubahan itu perlu dapat dirasai oleh rakyat.

“Jika kita mahu Parlimen yang lebih bebas dalam melaksanakan fungsinya, kita juga mesti membina Parlimen yang lebih bertanggungjawab.

“Jika kita mahu Parlimen yang lebih profesional, kita mesti menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti,” katanya.

Menurutnya, Parlimen mempunyai visi untuk menjadi sebuah institusi yang lebih terbuka, profesional, berintegriti dan digital dalam tempoh lima, 10 dan 20 tahun akan datang, namun pada masa sama kekal dekat dengan rakyat tanpa memerlukan mereka menjadi pakar undang-undang atau prosedur.

Katanya, Parlimen perlu mendekati rakyat melalui pendidikan, teknologi, platform digital, program libat urus serta penglibatan generasi muda supaya mereka merasakan pandangan mereka mempunyai tempat dalam sistem demokrasi negara.

“Apabila rakyat memahami Parlimen, mereka akan lebih menghargai demokrasi. Apabila rakyat mempercayai Parlimen, institusi ini akan menjadi lebih kuat.

“Dan apabila rakyat merasakan Parlimen adalah milik mereka, pada ketika itulah Parlimen benar-benar menjadi Rumah Rakyat,” katanya. – UTUSAN

The post Parlimen Malaysia ‘diserbu’ rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved