
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengambil pendekatan untuk memperlahankan pembangunan kecerdasan buatan (AI), sebaliknya memastikan perkembangan teknologi itu bergerak seiring dengan keupayaan negara mengawal risiko yang mungkin timbul.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pembangunan AI perlu diteruskan bagi memanfaatkan potensinya terhadap produktiviti ekonomi dan perkhidmatan awam, namun aspek keselamatan serta kawal selia tidak boleh diketepikan.
Katanya, pendekatan itu selari dengan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 yang mengutamakan pembangunan AI secara bertanggungjawab, selain menggalakkan penggunaan serta adaptasi AI bagi merancakkan produktiviti ekonomi dan perkhidmatan awam.
“Pelan tindakan AI kebangsaan juga meletakkan aspek kepercayaan dan keselamatan sebagai tonggak utama dan prasyarat kepada penggunaan dan adaptasi AI bagi meningkatkan produktiviti pembangunan bakat dan daya saing ekonomi negara.
“Justeru, pembangunan AI mesti bergerak seiring dengan peningkatan keupayaan kita untuk mengawal risikonya.
“Bagi sistem AI yang semakin berkuasa, autonomi dan berpotensi memberi kesan besar kepada manusia, atau sistem-sistem kritikal, kawalan keselamatan, pengujian, pemantauan, pengawasan manusia, ataupun sering kali dikatakan bahasa Inggeris ‘human in the loop’, dan mekanisme tindak balas hendaklah diperkukuhkan sebelum penggunaannya diperluaskan,” katanya menjawab soalan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) di Dewan Rakyat hari ini.
Ku Abd Rahman meminta beliau menyatakan pendirian kerajaan berhubung saranan global untuk memperlahankan pembangunan AI bagi membolehkan peraturan, etika dan pelan perlindungan pekerja disediakan terlebih dahulu.
Gobind berkata, kerajaan dalam proses merangka Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal 2027.
Mengulas lanjut perkara tersebut, jelas Gobind, RUU berkenaan akan menggunakan pendekatan berasaskan risiko dengan tahap kawalan dan kewajipan ditentukan mengikut potensi kemudaratan sesuatu sistem AI, bukannya berdasarkan klasifikasi industri semata-mata.
“Dalam rangka rang undang-undang ini, kerajaan menggunakan pendekatan berasaskan risiko, ataupun risk-based approach, tahap kawalan dan kewajipan dinilai mengikut potensi kemudaratan sistem AI itu sendiri, dan bukannya klasifikasi risiko mengikut industri semata-mata.
“Penggunaan AI dalam konteks ini menuntut kawal selia yang lebih ketat kerana ia memberi kesan langsung kepada keselamatan, hak asasi, dan juga kesejahteraan individu. Rang undang-undang ini direka sebagai kerangka merentas semua sektor,tetapi melengkapi undang-undang sektoral yang sedia ada” katanya.
Dalam pada itu, Gobind berkata, kerajaan melalui Kementerian Digital dan AI Malaysia Berhad turut menubuhkan Malaysia AI Safety Institute (MY-AISafe) bagi mengkaji mekanisme yang jelas dan teratur untuk mengawal selia penerapan model AI dalam operasi organisasi merentas sektor.
Katanya, institut berkenaan akan memberi tumpuan khusus kepada aspek tadbir urus AI termasuk penanda aras tentang keselamatan, penilaian risiko yang membolehkan beberapa tindakan dilaksanakan. – UTUSAN
The post PARLIMEN: Pembangunan AI bergerak selari dengan keupayaan negara – Gobind appeared first on Utusan Malaysia.






