
KOTA BHARU: Pas akan memperluas agenda penyatuan ummah ke seluruh negara membabitkan rundingan kerusi di Sabah dan Sarawak.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia bukan sahaja melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bahkan merangkumi kawasan Parlimen.
Katanya, perkembangan itu sekali gus membuka ruang kepada penglibatan parti dan gabungan politik di Sabah serta Sarawak dalam agenda berkenaan.
“Ya, mestilah Sarawak (Gabungan Parti Sarawak), Sabah (Gabungan Rakyat Sabah) selain UMNO itu sendiri di negeri berkenaan (Sabah).
“Kita mungkin mengorak langkah, ini rancangan kitalah. Lagipun kita (Pas) sudah mempunyai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Mungkin, kita akan bertanding kerusi Parlimen pula nanti,” katanya dalam sidang media Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Muktamar Pas Kali Ke-72 hari ini sebulat suara meluluskan usul penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sekali gus memberi isyarat jelas parti itu mahu memperkukuh kerjasama politik berteraskan kepentingan Melayu dan Islam. – UTUSAN
The post Pas bawa agenda penyatuan ummah ke Sabah, Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.






