
KUALA LUMPUR - Keputusan PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu menandakan retaknya Perikatan Nasional (PN) dari dalam.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menyifatkan langkah itu sebagai “ubat pahit” yang perlu ditelan demi maslahah lebih besar.
“Sudah tentu PAS dan Bersatu tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama berikutan keputusan yang dibuat semalam,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Malam sebelumnya, Presiden PAS Hadi Awang mengumumkan ketetapan itu selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, memperakukan keputusan Majlis Syura Ulama pada 2 Jun berhubung dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik.
Fadhli menegaskan, keputusan itu bukan berasaskan sentimen atau kepentingan jangka pendek, tetapi penilaian terhadap kemampuan kerjasama mencapai matlamat lebih besar — penyatuan ummah dan kestabilan politik negara.
“Apabila Bersatu menentang kemasukan parti seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra walaupun kertas cadangan sudah disiapkan, tindakan tersebut jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini,” katanya.
Beliau turut menyentuh sikap Bersatu terhadap krisis di Perlis dan Negeri Sembilan, yang menurutnya menjejaskan moral jentera PAS untuk terus bekerja bersama menjelang pilihan raya.
Kini, PAS mengemudi PN apabila Naib Presiden, Ahmad Samsuri Mokhtar, dilantik sebagai pengerusi gabungan pada 22 Februari lalu, menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kemelut politik di Perlis. - 9 Jun, 2026
The post PAS, Bersatu tak lagi boleh duduk bawah payung sama: Fahdli appeared first on Scoop.






