KOTA BHARU – Pas Kelantan meneruskan tradisi penganjuran rumah terbuka Aidilfitri yang dijadual berlangsung di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu ini.
Program itu dijangka menghimpunkan kira-kira 50,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan Islam.
Ketua Penerangan Pas Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, penganjuran rumah terbuka tersebut mengekalkan konsep gotong-royong dan penyediaan juadah oleh ahli parti dari kawasan masing-masing.
“Rumah terbuka ini bukan menggunakan dana kerajaan.
“Ia hasil sumbangan ahli-ahli parti serta kerjasama dewan-dewan melalui semangat gotong-royong yang sudah lama diamalkan dalam Pas Kelantan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa induk Aidilfitri Pas Kelantan di stadium itu pada Rabu.
**media[3472049]**
Beliau menegaskan, pendekatan ini membolehkan penganjuran berskala besar dilakukan secara sederhana, selaras dengan semangat penjimatan dan mengelakkan pembaziran.
“Di peringkat kerajaan negeri, kami menghormati pekeliling yang dikeluarkan, oleh itu tiada rumah terbuka melibatkan agensi kerajaan tahun ini.
“Program ini adalah anjuran parti untuk meraikan rakyat,” katanya.
Menurut Mohd Asri, lebih 20 gerai makanan akan disediakan melibatkan 14 kawasan dengan juadah tradisi termasuk nasi Arab, nasi kerabu, nasi dagang, laksa, gulai kawah, sate dan murtabak.
Penyediaan makanan diagihkan mengikut peranan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat selain sumbangan pihak-pihak persendirian.
“Contohnya, Dewan Ulama menyediakan nasi Arab dalam kuantiti besar 100 kilogram, manakala minuman diuruskan oleh Pemuda dan kuih raya oleh Muslimat.
“Semua ini hasil kerjasama dan gotong-royong,” katanya.
Beliau menambah, tema penganjuran tahun ini memberi penekanan kepada kesepaduan dan perpaduan masyarakat selaras dengan semangat Ramadan serta Syawal.
Pelbagai pihak termasuk tokoh agama, wakil masyarakat bukan Islam, persatuan perniagaan serta rakan parti politik dijangka hadir memeriahkan program.
“Rumah terbuka ini menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara kaum dan menyemai semangat saling bermaafan.
“Walaupun dalam suasana sederhana, kami mahu rakyat merasai kemeriahan Aidilfitri kerana waktu ini adalah hari kegembiraan untuk semua,” katanya.
Mohd Asri turut menjelaskan beberapa elemen yang melibatkan kos tambahan seperti cabutan bertuah tidak dianjurkan tahun ini sebagai langkah penjimatan.
“Fokus kami adalah kepada jamuan dan kebersamaan, bukan perkara yang menambah kos,” katanya.





