
KUALA LUMPUR: Pas kesal dengan laporan portal bertajuk ‘Sejahat-jahat orang Islam tak sezalim bukan Islam’ yang dikatakan mengelirukan dan memetik ucapan Presiden parti itu di luar konteks.
Pejabat Presiden Pas dalam kenyataan media berkata, ucapan asal Presiden Pas itu bertujuan menjelaskan bahawa politik dalam Islam berlandaskan pertimbangan dosa dan pahala.
Menurut kenyataan tersebut, prinsip berkenaan membawa kepada pemerintahan yang adil serta menjamin hak masyarakat bukan Islam.
“Ucapan asal Presiden Pas adalah bagi menjelaskan bahawa politik dalam Islam berlandaskan pertimbangan dosa dan pahala, yang membawa kepada pemerintahan yang adil serta menjamin hak masyarakat bukan Islam.
“Pihak kami kesal dengan naratif pemberitaan yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat dan menolak sebarang sentimen perkauman yang cuba dimainkan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” menurut kenyataan itu.
Satu portal melaporkan menjelang tidak sampai 48 jam sebelum orang Melaka mengundi bagi menentukan kerajaan baru di negeri itu, Abdul Hadi tampil memberi peringatan daripada Pas tentang pentingnya umat Islam menunaikan kewajipan mengundi.
Berucap di pentas Grand Finale BN dan PN, Presiden Pas berkenaan menegaskan bahawa dalam Islam, perkiraan politik dibuat berlandaskan faktor dosa dan pahala berbanding orang bukan Islam yang didakwanya ‘zalim’.
Katanya, kesan daripada orang Islam tidak keluar mengundi ialah ‘orang lain’ yang akan jadi pemerintah dan didakwanya bakal bertindak mengikut perkiraan mereka semata-mata serta mengabaikan amanah yang diwajibkan Allah. – UTUSAN
The post Pas kesal laporan portal dipetik luar konteks appeared first on Utusan Malaysia.






