
KUALA LUMPUR: Sebagai parti dominan dalam gabungan Barisan Nasional (BN) dan PN, Pas seharusnya memikirkan sedalam-dalamnya mengenai pemilihan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘poster boy’ pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Aktivis politik, Lokman Bonyamin berkata, ini kerana Ahmad Zahid hampir ditolak oleh pengundi Bagan Datuk sendiri pada PRU yang lalu berhubung dakwaan rasuah.
Katanya, jika mahu menang PRU16, mahu atau tidak, BN-PN perlu meletakkan calon poster boy untuk pertimbangan rakyat kerana dalam PRU itu kerana calon Perdana Menteri sangat penting,
“Justeru, katanya, jika BN-PN meletakkan Ahmad Zahid sebagai poster boy, pastinya ia akan mengundang penolakan rakyat dan ia akan memberi kelebihan buat Pakatan Harapan (PH).
“BN-PN boleh menjalinkan persefahaman serta kerjasama pilihan raya tanpa membentuk gabungan rasmi. Pendekatan ini bertujuan mengelakkan pertindihan kerusi yang ditandingi oleh kedua-dua pihak.

“Sehubungan itu, setiap parti bebas menampilkan poster boy masing-masing. Soal calon Perdana Menteri pula hanya akan dirundingkan selepas keputusan PRU16 diperoleh,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid memberikan ulasan sinis kepada kenyataan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mencadangkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU16.
Menurut Pengerusi BN itu, parti Wawasan kini sedang dalam fasa untuk muncul sebagai entiti baharu memasuki arena politik negara.
Dalam pada itu, Lokman berkata, cadangan menamakan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU16 merupakan pandangan peribadi Saifuddin dan tidak semestinya mencerminkan pendirian mana-mana gabungan atau parti lain.
Mengenai pandangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendakwa terdapat unjuran yang meramalkan Ahmad Zahid akan menjadi Perdana Menteri ke-11 sekiranya parti tersebut bergabung dengan PH dan mendominasi kerajaan selepas PRU16, beliau berkata, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan pendekatan politik masing-masing.
Katanya, ia sama ada bertanding secara solo atau menjalinkan persefahaman serta kerjasama dengan mana-mana parti.
“Keputusan berhubung perkara tersebut boleh dibuat sebelum PRU16, manakala sebarang kerjasama lanjutan atau pembentukan kerajaan selepas pilihan raya bergantung kepada keputusan PRU16 dan rundingan antara parti-parti yang terlibat,” katanya. – UTUSAN
The post Pas perlu fikir mendalam jika letak Ahmad Zahid calon poster boy PRU16 – Aktivis politik appeared first on Utusan Malaysia.




