Urusan kerajaan tidak boleh terhenti kerana suhu politik meningkat

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 12:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Urusan kerajaan tidak boleh terhenti kerana suhu politik meningkat

PUTRAJAYA: Urusan kerajaan tidak boleh terhenti hanya kerana suhu politik meningkat, sebaliknya pentadbiran Kerajaan Perpaduan perlu terus berjalan dengan mengutamakan kepentingan rakyat

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persaingan politik di peringkat negeri tidak akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, selagi mandat dan persefahaman pembentukan kerajaan terus dihormati.

“Namun apa juga persoalannya, persaingan politik di peringkat negeri tidak akan pernah menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, perkembangan politik semasa khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan penjawat awam mengenai kedudukan Kerajaan Perpaduan serta hala tuju pentadbiran.

Menurut beliau, ada kemungkinan penjawat awam tertanya-tanya sama ada perubahan politik di peringkat negeri akan memberi kesan terhadap dasar, program dan projek yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Kerajaan Perpaduan hari ini dibentuk berasaskan suatu persefahaman dan perjanjian yang jelas untuk ia kekal sehingga Parlimen dibubarkan.

“Jadi selagi tiada pembubaran berlaku, Kerajaan Persekutuan akan terus berfungsi, pentadbiran akan diteruskan dan setiap amanah kepada rakyat akan dilaksanakan seperti biasa,” katanya.

Beliau menegaskan, ahli politik dan penjawat awam perlu kekal profesional dengan tidak mencampurkan urusan politik serta pentadbiran dalam satu perkara yang sama.

“No politicking. Kita adalah ahli-ahli politik dan pentadbir yang profesional, tidak akan pernah mencampurkan politik dan pentadbiran dalam satu bakul yang sama,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, dalam sebuah negara demokrasi, penjawat awam tidak salah untuk memahami serta mendapatkan penjelasan berkaitan perkembangan politik semasa tanah air.

Beliau memberi contoh beberapa negara seperti Australia dan Jepun yang menyaksikan kerjasama politik di peringkat nasional, namun parti-parti terbabit masih mempunyai pendekatan berbeza di peringkat tertentu.

Katanya, kerjasama dalam sesebuah kerajaan tidak bermaksud semua parti perlu meleburkan identiti politik masing-masing, sebaliknya autonomi politik masih wujud selagi komitmen terhadap perjanjian pembentukan kerajaan dilaksanakan.

“Dalam konteks kerajaan pada hari ini, apabila mandat telah diberikan dan kerajaan telah dibentuk, tanggungjawab pentadbiran mesti mengatasi segala perbezaan politik.

“Mesti ada garis pemisah terhadap perbezaan politik. Di negeri boleh kita berbeza pendapat, tetapi apabila melaksanakan pentadbiran di peringkat pusat, kita mesti satu fikiran, satu perasaan dan satu tujuan,” katanya.-UTUSAN

The post Urusan kerajaan tidak boleh terhenti kerana suhu politik meningkat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved