
PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) disyor untuk menghentikan penglibatan dalam pelaburan strategik yang berisiko tinggi selepas mendapati langkah itu pernah menyumbang kepada kerugian institusi berkenaan.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkata, TH tidak lagi wajar terlibat dalam pelaburan strategik seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini kerana ia didapati tidak selari dengan objektif penubuhannya.
Menurutnya, antara faktor yang mendorong TH memiliki pelaburan strategik ialah visi institusi itu untuk menjadi tonggak ekonomi ummah.
“Visi ini tidak selari dengan objektif LTH yang memfokuskan kepada penabungan bagi tujuan untuk mengerjakan haji.
“Kajian yang dilakukan oleh Ernst & Young (EY) dalam 2018 mendapati hampir kesemua anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat berkaitan di bawah kategori ‘pelaburan strategik’ menghadapi kerugian,” katanya menerusi laporan penuh yang dikeluarkan hari ini.
RCI berkata, hanya pelaburan dalam Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad yang berjaya memberikan dividen mampan setiap tahun.
Katanya, selain itu, pelaburan strategik TH turut melibatkan sektor pelancongan dan hotel yang menyokong operasi haji institusi berkenaan.
“Selain itu, termasuk dalam ‘pelaburan strategik’ TH juga adalah pelaburan dalam perkhidmatan pelancongan dan hotel yang menyokong operasi haji TH.
“Roland Berger (RB) mendapati TH kekurangan pakar yang berkemahiran dan berpengalaman untuk menjalankan perniagaan anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat bersekutu.
“Sekiranya TH dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, badan kawal selia tersebut juga mungkin tidak mempunyai keupayaan untuk menyelia ‘pelaburan strategik’ berkenaan yang telah banyak membawa kerugian kepada TH,” katanya.
Sehubungan itu, RCI mencadangkan supaya TH keluar atau melupuskan kepentingannya dalam kelas pelaburan berkenaan.
“Kecuali dalam syarikat-syarikat yang dikawal selia berdasarkan peraturan tadbir urus yang mengehadkan peranan TH dalam syarikat-syarikat berkenaan seperti Bank Islam, Syarikat Takaful Malaysia Berhad dan juga syarikat-syarikat yang menjadi sebahagian daripada operasi haji TH seperti TH Travel dan Hotel Movenpick di Sepang yang merupakan lokasi jemaah haji berkumpul sebelum berlepas ke tanah suci,” katanya.-UTUSAN
The post TH perlu berhenti terlibat dalam pelaburan berisiko tinggi appeared first on Utusan Malaysia.






