
MELAKA: Pas mengesahkan perbincangan tidak rasmi antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menjalin kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah dimulakan tiga hari lalu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan yang berlangsung di peringkat pimpinan pusat menunjukkan perkembangan sangat positif, sekali gus memberi gambaran awal mengenai kemungkinan kerjasama antara kedua-dua gabungan.
“Alhamdulillah, sangat positif hasil perbincangan antara PN dan BN tiga hari lalu. Kita mengambil semangat daripada apa yang berjaya di Johor dan di Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Pas Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini malam tadi.
Hadir sama Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail.
Ditanya mengenai kemungkinan peratusan kerjasama antara BN dan PN dapat dicapai bagi menghadapi PRN Melaka, beliau berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan.
“Itu masih peringkat awal. Peringkat awal pun sudah menandakan prestasi yang sangat baik,” katanya.
Abdul Hadi yang ditanya mengenai strategi Pas di Melaka susulan perkembangan kerjasama politik di Johor dan Negeri Sembilan bagaimanapun enggan mendedahkannya buat masa ini.
“Tiupan wisel permainan belum ditiupkan,” katanya secara berseloroh.
Beliau berkata, rundingan selanjutnya akan diteruskan dalam masa terdekat.
Katanya, perkembangan itu merupakan petunjuk awal bahawa rundingan kerjasama antara PN dan BN bagi menghadapi PRN Melaka memasuki fasa baharu, meskipun bentuk kerjasama serta pembahagian kerusi belum diputuskan. – UTUSAN
The post Pas sahkan perbincangan PN-BN sudah bermula appeared first on Utusan Malaysia.






