
TEMERLOH – Pas membuka ruang rundingan dengan UMNO bagi membentuk kerjasama politik di Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, termasuk mempertimbangkan model kerjasama antara parti yang dilaksanakan di Negeri Sembilan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini yang menyatakan kesediaan mengadakan rundingan dengan mana-mana parti politik termasuk Pas dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya melihat kenyataan beliau atas hasrat penyatuan ummah. Penyatuan ummah ini perlu kita lihat dalam kerangka lebih besar daripada hanya parti dan dalaman parti.
“Insya Allah, kita mungkin boleh adakan perbincangan dan rundingan bagaimana untuk memperkukuhkan penyatuan ummah ini dalam konteks parti-parti politik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Mujahid Siber Pas peringkat nasional di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, model kerjasama politik di Negeri Sembilan boleh dijadikan antara contoh sekiranya keputusan pilihan raya menyebabkan tiada parti mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.
Bagaimanapun, katanya, formula berkenaan tidak semestinya boleh diguna pakai secara terus kerana keadaan politik dan komposisi kerusi adalah berbeza mengikut negeri.
“Model itu sangat berbeza-beza setiap negeri. Tetapi kita boleh lihat apa yang berlaku di Negeri Sembilan sebagai satu model yang baik. Kita harapkan di Melaka pun akan mengikut model yang sama,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, sebarang rundingan antara PAS dan UMNO perlu berasaskan prinsip keikhlasan, kesamarataan serta pendekatan menang-menang tanpa mana-mana parti menganggap dirinya lebih besar atau berhak mendominasi pihak lain. – KOSMO! ONLINE
The post Pas sedia duduk semeja dengan UMNO di Pahang appeared first on Kosmo Digital.






