Pas sudah ada senarai calon empat DUN PRN Melaka

LocalPolitics
6 Oct 2026 • 8:08 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pas sudah ada senarai calon empat DUN  PRN Melaka

MELAKA: Pas sudah menyenaraikan calon mereka untuk bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan perkembangan positif rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Menurut sumber, empat kerusi berkenaan ialah DUN Bemban, Ayer Keroh, Paya Rumput dan Bukit Katil yang dikenal pasti untuk diberikan kepada Pas.

Katanya, bagi DUN Bemban, Pas Kawasan Jasin sudah mengadakan mesyuarat dan mencadangkan Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka, Zulhilmi Suboh sebagai calon.

Setiausaha Pas Kawasan Jasin, Norfaizal Nordin turut antara nama yang disenaraikan untuk dipertimbangkan bagi kerusi berkenaan.

Bagi DUN Bukit Katil pula, Pas Kawasan Hang Tuah Jaya memutuskan untuk mencadangkan Yang Dipertuanya, Al Hafiz Yahya sebagai calon.

Sementara itu, Dewan Pemuda Pas Melaka dicadangkan untuk mengetengahkan calon daripada sayap berkenaan bagi DUN Ayer Keroh.

Bagi DUN Paya Rumput pula, sumber memaklumkan Yang Dipertua Pas Kawasan Tangga Batu, Datuk Bakri Jamaludin yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, antara nama yang dicadangkan untuk bertanding di kerusi tersebut.

“Nama-nama ini sudah dibincangkan di peringkat kawasan masing-masing namun keputusan rasmi mengenai calon masih tertakluk kepada kelulusan kepimpinan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini kelmarin me­laporkan, kerjasama BN dan Pas bagi menghadapi PRN Melaka semakin positif apabila parti Islam itu dikatakan bakal diberi laluan untuk bertanding di empat kerusi DUN.

Sumber berkata, keputusan awal itu dicapai dalam perbincangan antara dua pemimpin kanan Pas, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Setia­usaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berlangsung baru-baru ini.

Menurutnya, empat kerusi yang telah dipersetujui pada rundingan peringkat awal itu ialah DUN Bemban, Bukit Katil, Paya Rumput dan Ayer Keroh.

Sementara itu, sumber ber­kata, senarai calon yang disediakan Pas itu menunjukkan parti berkenaan sudah membuat persiapan awal untuk menghadapi PRN Melaka, meskipun keputusan rasmi berhubung bentuk kerjasama dan penggunaan logo masih menunggu rundingan lanjut.

Katanya, pengumuman rasmi calon dan kerjasama BN-Pas dijangka dibuat selepas perkara berkaitan dimuktamadkan oleh kepimpinan kedua-dua parti.-UTUSAN.

The post Pas sudah ada senarai calon empat DUN PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved