Pas Melaka nafi senarai calon PRN tular di media sosial

LocalPolitics
6 Oct 2026 • 2:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pas Melaka nafi senarai calon PRN tular di media sosial
Pas nafi senarai nama yang mewakili parti itu sebagaimana tular di media sosial pada Selasa.

MELAKA - Pas Melaka menafikan sekeras-kerasnya penyebaran maklumat memaparkan senarai calon parti itu bagi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang tular di media sosial.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Pas Melaka memaklumkan senarai berkenaan bukan maklumat rasmi dan menyifatkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkannya sebagai boleh mengelirukan orang ramai.

“Pas Melaka memandang serius tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan bahan berkenaan yang boleh mengelirukan orang ramai.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Pagi ini tular satu hantaran menerusi akaun Facebook TV Pas Melaka dengan memaparkan dakwaan senarai calon yang dicadangkan Pas untuk bertanding di empat DUN pada PRN Melaka.

Hantaran itu mendakwa nama yang dicadangkan bagi mewakili Pas bagi DUN Bemban ialah Zulhilmi Suboh atau Nor Faizal Nordin, Al Hafiz Yahya (Bukit Katil), calon Dewan Pemuda Pas Melaka (Ayer Keroh) dan Bakri Jamaluddin (Paya Rumput).

Dalam pada itu, Pas Melaka turut memaklumkan terdapat beberapa halaman media sosial yang membawa naratif dan kandungan berkaitan Pas termasuk TV Pas Melaka dan Melaka Kini.

Menurutnya, halaman berkenaan bukan di bawah seliaan atau pengurusan Pas negeri serta tidak mewakili saluran rasmi parti itu.

“Sehubungan itu, semua ahli dan penyokong Pas diminta agar tidak mengikuti atau menjadikan halaman-halaman tersebut sebagai sumber rujukan bagi mengelakkan kekeliruan, penyebaran maklumat yang tidak tepat serta naratif yang tidak mewakili pendirian rasmi parti.

“Dapatkan maklumat yang sahih dan rasmi hanya melalui laman rasmi Pas Negeri Melaka,” menurut kenyataan itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved