Senarai calon BN: Ab Rauf masih berahsia, tunggu keputusan SPR

LocalPolitics
6 Oct 2026 • 3:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Senarai calon BN: Ab Rauf masih berahsia, tunggu keputusan SPR

MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh masih berahsia mengenai senarai calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk bila nama-nama berkenaan akan diumumkan.

Ditanya mengenai senarai calon, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka hanya meminta semua pihak supaya bersabar sehingga keputusan mengenainya dimuktamadkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian esok.

“Belum… tunggu, sabar. Nanti dah dapat nama nanti saya beritahu,” katanya ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Jeti Terminal Pelayaran Antarabangsa (MICT) di Melaka Gateway, di sini hari ini

Beliau secara berseloroh berkata: “Selewat-lewatnya? Selewat-lewatnya, selewat mungkin.”

Perkembangan itu berlaku ketika BN masih belum memuktamadkan rakan kerjasama yang bakal bersama gabungan itu menghadapi PRN Melaka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 4 Oktober lalu memaklumkan BN akan menunggu pengumuman SPR berhubung tarikh penamaan calon dan hari pengundian sebelum memuktamadkan serta mengumumkan gabungan atau parti yang akan bekerjasama dengan BN dalam PRN Melaka.

Menurut Ahmad Zahid, BN masih terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak, termasuk Pakatan Harapan (PH), manakala keputusan akhir mengenai bentuk kerjasama akan dibuat selepas SPR mengumumkan jadual pilihan raya.

SPR dijadual mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan urusan PRN Melaka ke-16 termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memberi mandat kepada Ab Rauf untuk mengadakan rundingan dengan parti politik yang berminat menjalinkan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka.

Dalam PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. – UTUSAN

The post Senarai calon BN: Ab Rauf masih berahsia, tunggu keputusan SPR appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved