Pasang bendera terbalik: Jangan politikkan isu babit sekolah Cina di Port Dickson, kata Anthony

LocalPolitics
4 Aug 2025 • 2:09 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berharap tiada pihak cuba menangguk di air keruh dengan mempolitikkan isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson, di sini, baru-baru.

Menurut beliau, siasatan berhubung insiden berkenaan kini sedang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengenal pasti sama ada ia dilakukan secara sengaja atau sebaliknya.

"Setiap kali apabila adanya isu seperti ini (kesilapan memasang Jalur Gemilang) sudah tentu ada orang yang cuba mempolitikkannya.

"Tapi saya rasa adanya kesilapan dan saya serahkan kepada pihak KPM yang sedang membuat siasatan, sama ada itu disengajakan atau tidak.

"Jadi tak perlulah mana-mana pihak cuba mengambil peluang untuk mempolitikkan isu-isu seperti ini," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Bulan Kemerdekaan Peringkat Parlimen Seremban di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chan Wa di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Seremban itu turut menegaskan bahawa semua pihak seharusnya lebih berhati-hati mengibarkan Jalur Gemilang supaya tidak berlaku kesilapan seumpama itu.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan kemungkinan boleh berlakunya kesilapan yang tidak disengajakan.

"Kita sememangnya memberi peringatan kepada semua orang apabila kita kibarkan Jalur Gemilang, kibarkan secara betul dan hormat, mesti ada sensitiviti.

"Tapi kadangkala ada kesilapan-kesilapan yang mungkin tidak disengajakan dan kita serahkan kepada KPM untuk menjalankan siasatan," katanya, lapor Harian Metro.

Selain itu beliau yang juga Setiausaha Agong DAP berkata, Jalur Gemilang adalah lambang identiti negara yang seharusnya dijaga dengan penuh bangga dan hormat. - 4 Ogos, 2025