Pasangan Kekasih Rentung Baru Pulang Sambut Birthday, Sempat Cium Dan Peluk Ibu

22 Oct 2025 • 4:24 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pemuda yang maut dalam kemalangan meragut dua nyawa apabila kenderaan Toyota Vios dinaiki terbakar di Kilometer 32 Jalan Tanjung Balau – Sedili awal pagi tadi, difahamkan baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-21, semalam.

Pasangan kekasih rentung di tempat kejadian

Menurut ibunya, Kasmaazleena Kamsan, 47, anaknya Muhammad Daniel Saberi keluar bersama teman wanitanya, Aiza Nur Elysha Sabri, 17, petang semalam bagi meraikan hari istimewa tersebut, namun tidak menyangka kegembiraan itu menjadi detik perpisahan selama-lamanya.

“Dia keluar rumah sekitar jam 3 petang. Malam semalam dia telefon saya, tunjuk gambar mereka makan bersama di Stulang. Saya pesan dia supaya jangan terlalu letih sebab esoknya dia perlu kerja. Dia jawab, ‘tak lama ibu, lepas makan Uda hantar baby balik’,” katanya.

image is not available

Namun selepas beberapa kali cuba menghubungi anaknya sekitar jam 4 hingga 4 pagi tanoa jawapan, hati ibu itu mula gelisah.

“Saya risau sebab Daniel tak pernah tak angkat telefon saya. Jam 6 pagi, polis datang dan maklumkan anak saya terlibat kemalangan. Mereka suruh saya ke hospital,” ujarnya sebak.

Jenazah Muhammad Daniel akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi petang ini.

Di sisi lain, Hapisah Abdul Aziz, 50, ibu kepada Aiza Nur Elysha, 17, turut berkongsi rasa pilu apabila mengenangkan anak bongsunya yang maut bersama.

“Pagi semalam, sebelum dia pergi sekolah, dia peluk dan cium saya seperti biasa. Itu kali terakhir saya merasa pelukan dia,” jelasnya.

image is not available

Hapisah menerima berita kematian anaknya menerusi mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga selepas tersebar laporan kemalangan yang melibatkan anaknya dan teman lelakinya itu.

“Anak saya yang lain beritahu kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka terbakar selepas kemalangan. Sekitar jam 7 pagi, polis hubungi saya suruh ke hospital bawa kad pengenalan anak. Kami belum tahu keadaan sebenar, tapi bila dimaklumkan, hati saya hancur,” tambahnya.

Menurut Hapisah, Daniel ada meminta izin untuk membawa Aiza keluar pada petang semalam.

“Mereka memang rapat dan Daniel selalu minta izin terlebih dahulu kalau nak keluar bersama,” katanya.

Jenazah Aiza akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi petang ini.

image is not available

Menurut polis, kenderaan Toyota Vios yang dinaiki pasangan itu terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit di Kilometer 32 Jalan Tanjung Balau Sedili sekitar jam 3 pagi.

Kebakaran berlaku dengan cepat menyebabkan kedua-dua mangsa rentung dalam kemalangan ngeri tersebut.

Muhammad Daniel merupakan bekas anggota tentera yang kini bekerja sebagai pemandu Grab, manakala Aiza pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Semenchu dan merupakan calon SPM tahun ini.

Sumber: Kosmo (Masturah Suradi), Malaysia Gazette (Zulhisham Isahak)