Pasangan suami isteri antara tiga didakwa edar 510 kg methamphetamine

LocalPolitics
3 Apr 2026 • 11:37 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pasangan suami isteri antara tiga didakwa edar 510 kg methamphetamine
Tiga individu termasuk pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar atas pertuduhan mengedar 510 kg dadah jenis methamphetamine di Wang Kelian, Mac lepas. Foto Bernama

KANGAR - Tiga individu termasuk pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengedar 510 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di Wang Kelian, Mac lepas.

Tertuduh, Mohd Rizuan Ramli, 37, serta pasangan suami isteri, Muhammad Amir Aswad Ismail, 27, dan Nur Atiqa Anis Ramadha Abdullah, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes pengedaran dadah adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga individu itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 510,000 gram di jalan utama berhampiran persimpangan mini tar pencawang TNB Wang Kelian, Jalan Wang Kelian, Kaki Bukit dekat Padang Besar kira-kira 9.30 pagi, 24 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 2 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nur Iman Nor Azmi. - Bernama

 

 

 

View Original Article