
IPOH: Pasangan suami isteri berhadapan hukuman mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 480.60 gram, minggu lalu.
Tertuduh, Teoh Wai Loon, 44, dan Lim Suk Pei, 38, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha dan tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didapati telah mengedar dadah berbahaya jenis MDMA anggaran berat 480.60 gram di sebuah bilik di premis dekat Bercham Bistari 4, Medan Bercham Bistari, dalam daerah Kinta pada pukul 10.30 malam, 4 Ogos 2026.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dihukum tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Menerusi laporan media pada 6 Ogos lalu, tujuh individu termasuk pasangan suami isteri ditahan bersama rampasan dadah jenis ketamin dan pil Erimin 5 bernilai lebih RM538,000 di sekitar Ipoh dan Tapah. –UTUSAN
The post Suami isteri didakwa edar 480.60 gram dadah berdepan hukuman mati appeared first on Utusan Malaysia.





