
Pasangan itu didakwa melanggar Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atas pertuduhan menerima deposit skim pelaburan Dinar Dirham
SHAH ALAM: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima deposit daripada orang awam menerusi skim pelaburan Dinar Dirham tanpa lesen, antara 2016 hingga 2017.
Datuk Muhd Azrainuddin Zainal, 45, dan isterinya, Datin Nur Ezdiani Baharoddin, 44, masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa setuju terima deposit daripada orang awam menerusi skim pelaburan Dinar Dirham melibatkan pembelian dan pengendalian DinarCoin (DNC) tanpa lesen di sebuah premis di Prima SG2, Prima Sri Gombak, Batu Caves antara Jun hingga Disember 2016.
Mereka juga dituduh melakukan kesalahan sama di sebuah premis di Lorong Perusahaan Ringan 1, Kawasan Perusahaan Ringan, Sri Gombak, antara Januari hingga November 2017.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tanpa lesen yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, mengikut Subseksyen 137(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau didenda hingga RM50 juta atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Bank Negara Malaysia (BNM) Nurdeenie Abdul Rashid mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Mohammed Fudhail Ahmad Zulaini yang mewakili Muhd Azrainuddin dan Nur Ezdiani memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung lima orang anak berusia enam hingga 18 tahun, selain memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat supaya pasport diserahkan kepada mahkamah serta mereka tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan 20 Jan tahun depan.




