
PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) didakwa menggunakan dua tafsiran berbeza dalam pemakaian Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 bagi menangani urusan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).
Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ROS sebelum ini berpendirian bahawa isu kuorum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu perlu diputuskan secara dalaman mengikut perlembagaan parti itu.
Katanya, ROS bagaimanapun membatalkan pendaftaran PN berdasarkan tafsirannya sendiri terhadap Fasal 7.1 perlembagaan gabungan itu selepas menerima aduan daripada Bersatu.
“Pada 13 Julai lalu, empat Ahli Parlimen Bersatu membuat aduan kepada ROS yang mempersoalkan kuorum mesyuarat MPT Bersatu.
“Dalam jawapannya pada 16 Julai 2026, ROS merujuk Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dan menetapkan bahawa keputusan parti politik berhubung urusan dalamannya adalah muktamad. ROS turut menegaskan bahawa ia tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, keputusan itu juga bertentangan dengan pendirian asal ROS dalam surat bertarikh 6 Oktober lalu yang menyatakan isu dibangkitkan PN akan dijawab di mahkamah melalui prosiding semakan kehakiman.
Katanya, Mahkamah Tinggi pada 13 Oktober lalu menetapkan pendengaran secara dua pihak (inter partes) pada 22 Oktober ini bagi prosiding semakan kehakiman tersebut.
“PN telah menulis kepada ROS pada 14 Oktober supaya tiada tindakan diambil sebelum pendengaran tersebut. Namun surat itu tidak dijawab oleh ROS.
“Malah, sehari sebelum perintah pembatalan dikeluarkan iaitu pada 19 Oktober, pihak Peguam Negara sendiri menyatakan dalam hujahan kepada mahkamah bahawa proses pembatalan masih berjalan. Namun ROS tetap membatalkan pendaftaran PN dua hari sebelum Mahkamah Tinggi bersidang,” katanya.
Menurut beliau, tindakan membatalkan pendaftaran PN hanya 11 hari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 31 Oktober ini memperlihatkan kerajaan tidak berani berdepan dengan pembangkang melalui persaingan demokrasi yang adil.
Katanya, pembatalan itu merupakan hukuman paling berat di bawah Akta Pertubuhan 1966 terhadap gabungan yang menerajui kerajaan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta bersama-sama membentuk kerajaan Negeri Sembilan.
“Pembatalan ini bukan sahaja menamatkan kewujudan sah sebuah gabungan politik, malah turut menjejaskan hak demokrasi pengundi dalam Pilihan Raya Negeri Melaka yang dijamin di bawah Perkara 10 dan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Hamzah turut mendakwa keputusan berkenaan mengandungi unsur ‘mala fide’ atau berniat jahat apabila ROS tidak menjelaskan sebab penjelasan PN ditolak.
Katanya, segala tindakan undang-undang seperti dijelaskan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, akan diteruskan, bermula di mahkamah pada 22 Oktober ini.
“Wawasan menolak keputusan ini sepenuhnya, berdiri teguh bersama parti-parti politik sahabat PN yang sehaluan dan akan terus mempertahankan hak dan mandat rakyat melalui saluran undang-undang.
“Parti-parti politik yang sehaluan dengan PN juga akan memasuki medan PRN Melaka dengan strategi yang tepat dan biarlah peti undi menjadi saksi kepada pilihan rakyat. Seluruh ahli dan penyokong diseru supaya kekal tenang dan mematuhi undang-undang,” katanya. – UTUSAN
The post ROS didakwa guna dua tafsiran berbeza appeared first on Utusan Malaysia.






