Suami isteri nafi terima deposit berhubung skim Dinar Dirham tanpa lesen

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 1:52 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Suami isteri nafi terima deposit berhubung skim Dinar Dirham tanpa lesen

SHAH ALAM – Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membabitkan deposit skim pelaburan Dinar Dirham tanpa lesen sembilan tahun lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Datuk Muhd. Azrainuddin Zainal, 45 dan isterinya Datin Nur Ezdiani Baharoddin, 44, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan masing-masing dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut dua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa telah menyetuju terima deposit daripada orang awam melalui skim pelaburan Dinar Dirham yang melibatkan pembelian dan pengendalian DinarCoin (DNC), tanpa suatu lesen yang diberikan di bawah seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua premis di Sri Gombak dan Batu Caves antara Jun 2016 hingga Disember 2016 serta Januari 2017 hingga November 2017 yang didakwa mengikut Subseksyen 137(1) Akta 758 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 137(2) Akta yang sama.

Justeru hukuman bagi Subseksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berikutan pengakuan tidak bersalah kedua-dua tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya daripada Bank Negara Malaysia (BNM) Nurdeenie Abdul Rashid mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun peguam Mohammed Fudhail Ahmad Zulaini yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agak jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan kedua-dua tertuduh menanggung lima anak berusia antara enam hingga 18 tahun.

“Kes ini jika dilihat adalah kesalahan pada tahun 2016 dan 2017 iaitu sekitar sembilan dan 10 tahun lalu. Sepanjang siasatan dijalankan dalam tempoh itu kedua-dua tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa,” kata peguam itu.

Pada masa sama peguam itu turut menyatakan kedua-dua tertuduh turut memberikan kerjasama baik dalam kes lain membabitkan pelucuthakan pada tahun 2018 dan 2019.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Awang Kerisnada membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM30,000 bagi setiap tertuduh.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan pasport diserahkan dan kedua-dua tertuduh dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Tarikh 20 Januari ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

The post Suami isteri nafi terima deposit berhubung skim Dinar Dirham tanpa lesen appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved