
LAHAD DATU: Polis menahan sepasang suami isteri dalam Op Tapis di Kampung Unta, Jalan Bakawali, pada Khamis selepas menerima maklumat mengenai aktiviti dadah.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata pasangan berusia 44 tahun itu ditemui dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah rumah tanpa nombor.
Polis merampas 0.47 gram disyaki syabu serta peralatan berkaitan penggunaan dadah.
Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) Akta sama kerana mengambil dadah.
Terdahulu pada hari sama, polis menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan sebagai sebahagian daripada Op Tapis.
Seramai tujuh individu – empat lelaki dan tiga wanita – diperiksa dan hasil ujian mendapati mereka negatif dadah. Tiada tangkapan dibuat dalam operasi terbabit.
Dzulbaharin menegaskan Op Tapis mencerminkan komitmen berterusan Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dalam mengekang aktiviti berkaitan dadah.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.



