
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan kegiatan sepasang suami isteri warga Vietnam dipercayai bertindak sebagai ejen haram dengan menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen kepada warga asing dalam serbuan di Jalan Bemban, Ampang di sini, Jumaat lalu.
Dalam operasi khas pukul 12.15 tengah malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menyerbu sebuah premis kediaman selepas menjalankan risikan selama sebulan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan pasangan warga Vietnam berusia 34 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pasangan berkenaan dipercayai bertindak sebagai ejen haram dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan urusan imigresen, khususnya kepada warga Vietnam.
“Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk menguruskan lanjutan pas, Pas Khas serta tiket penerbangan pulang ke Vietnam bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di Depot Imigresen.
“Bayaran dikenakan sehingga RM12,000 bagi setiap individu bergantung kepada jenis urusan dan kegiatan tersebut dipercayai telah beroperasi sejak tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, Imigresen merampas tujuh pasport Vietnam dan lima unit cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu.
Katanya, sebuah kenderaan jenis Ford Kuga yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu turut disita bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemukan seorang kanak-kanak lelaki warga Vietnam berusia 10 bulan yang dipercayai anak pasangan berkenaan.
“Semakan awal turut mendapati lelaki warga Vietnam berkenaan telah tinggal lebih masa, manakala isterinya memegang Pas Pembantu Rumah Asing (PRA).
“Kanak-kanak yang ditemui bersama pasangan itu pula didapati tidak mempunyai sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” tambahnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kita kini menjalankan siasatan lanjut terhadap penemuan cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu selain dokumen dan peralatan yang disita bagi mengenal pasti modus operandi serta kemungkinan penglibatan individu lain,” katanya- UTUSAN
The post Pasangan Vietnam jadi ejen ‘imigresen’ haram diberkas appeared first on Utusan Malaysia.






