
GUA MUSANG: Empat lelaki termasuk seorang warga China ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan perlombongan emas haram menggunakan permohonan permit mengeluarkan pasir di Jalan Masjid Rancangan Pemulihan Kawasan (RPK) di Kuala Betis, di sini, semalam.
Dalam serbuan menerusi Op Gali Mega Zon Timur pada pukul 4 petang itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut merampas pelbagai jentera dan peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan dengan nilai keseluruhan RM1.135 juta.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa serbuan, pihaknya mendapati pintu pagar premis berkenaan berkunci dari dalam sebelum pasukan memasuki kawasan tersebut untuk pemeriksaan.
Katanya, pemeriksaan mendapati empat lelaki berada di hadapan sebuah bangsal dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan dokumen mendapati tiga daripada mereka adalah warganegara Malaysia manakala seorang lagi warganegara China dan memiliki pasport yang sah.
“Pemeriksaan lanjut di seluruh kawasan menemukan dua jengkaut, dua palong, dua mesin penyedut dan dua genset yang disyaki digunakan untuk aktiviti perlombongan emas.
“Pasukan turut menemukan sebuah kontena berwarna kuning yang berkunci dan pemeriksaan di dalamnya menemukan 51 keping karpet rumput pelbagai saiz serta tiga gulung karpet rumput yang disyaki berkaitan dengan kegiatan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi berkata, salah seorang individu berkenaan menyerahkan satu salinan permohonan permit mengeluarkan pasir di Sungai Nenggiri, Mukim Kuala Betis, Daerah Betis, Jajahan Lojing, bertarikh 31 Januari 2024.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, aktiviti di lokasi tersebut disyaki melibatkan salah guna permohonan atau permit berkaitan pengeluaran pasir bagi menjalankan aktiviti perlombongan emas.
“Semua empat individu ditangkap untuk membantu siasatan manakala peralatan diserahkan kepada PTG Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang,” ujarnya.
Ahmad Radzi berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih RM1.1 juta.
Katanya, semasa serbuan PGA tidak menemukan mineral atau emas yang dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 158, Enakmen Mineral Negeri 2001. – UTUSAN
The post Warga China antara empat individu ditahan lombong emas haram appeared first on Utusan Malaysia.






