Pasaran buruh, perniagaan kekal stabil, kehilangan pekerjaan terkawal

LocalBusiness & Finance
25 Jun 2026 • 12:52 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pasaran buruh, perniagaan kekal stabil, kehilangan pekerjaan terkawal

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Landskap pasaran buruh dan perniagaan kekal berdaya tahan dan berada dalam keadaan terkawal sepanjang suku pertama dan kedua tahun ini, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata trend kehilangan pekerjaan kekal terkawal dengan seramai 6,197 individu direkodkan kehilangan pekerjaan pada bulan ini setakat 22 Jun, merangkumi 0.04 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk bekerja di Malaysia.

“Angka ini berkurang 20 peratus berbanding 7,766 orang kehilangan pekerjaan pada Mei 2026,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Setakat April 2026, Akmal Nasrullah berkata jumlah tenaga buruh negara meningkat kepada 17.33 juta orang, manakala bilangan penduduk bekerja terus meningkat kepada 16.82 juta orang.

“Kadar penyertaan tenaga buruh pula kekal pada paras 70.9 peratus, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya, sekali gus mencerminkan kestabilan aktiviti ekonomi semasa,” katanya.

Image from: Pasaran buruh, perniagaan kekal stabil, kehilangan pekerjaan terkawal
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika berucap pada Program Dasar Peluang Kedua (DPK) - Pelepasan Fast Tack 2026 di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim di Johor Bahru pada 23 April 2026. Foto BERNAMA

Akmal Nasrullah menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah mitigasi melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani peningkatan kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan susulan krisis tenaga serta ketidaktentuan ekonomi global, serta hasil pelaksanaannya setakat ini.

Beliau menjelaskan kadar pengangguran meningkat sedikit daripada 2.9 peratus pada Mac lalu kepada 3.0 peratus pada April, melibatkan seramai 511,800 orang, namun kadar itu masih berada di bawah empat peratus, iaitu tahap guna tenaga penuh.

Akmal Nasrullah memaklumkan penempatan semula pekerjaan turut menunjukkan perkembangan positif apabila MYFutureJobs merekodkan peningkatan penempatan 55 peratus, iaitu daripada 12,119 orang pada April kepada 18,756 orang setakat 12 Jun lalu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan penempatan pekerjaan bagi 2026 adalah 62,644 orang. Angka ini meliputi pencari kerja melalui portal MYFutureJobs serta penerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan intervensi kerajaan bukan sahaja menyediakan sokongan sementara, malah membantu pekerja yang terjejas untuk kembali bekerja dengan lebih cepat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved