Pasaran hartanah Johor berdepan cabaran akibat isu hartanah tidak terjual masih berterusan – Kenanga Research
diyana
15/09/2023 - 10:56
KUALA LUMPUR 15 Sept - Pasaran hartanah Johor berdepan cabaran memandangkan isu hartanah tidak terjual masih berterusan di negeri tersebut, kata Kenanga Research susulan perbincangan berkenaan pasaran hartanah tempatan dengan Ho Chin Soon Research (HCS).
Meskipun terdapat projek infrastruktur Sistem Transit Rapid Singapura-Johor Bahru (RTS Link) dan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) serta penetapan semula Forest City kepada Zon Kewangan Khas, Kenanga Research berkata cabaran utama berterusan dengan projek-projek lama di negeri ini masih mengalami masalah hartanah tidak terjual yang banyak.
“Di samping itu, bakal pelabur hartanah mungkin lebih terhad daripada yang dibayangkan, kebanyakannya masih warga tempatan negeri Johor atau Malaysia yang bekerja di Singapura.
“Bagaimanapun, kami perhatikan bahawa pemaju hartanah telah membeli lebih banyak tanah untuk memperkenalkan perbandaran yang lebih bertenaga.
“Projek-projek baru ini mungkin menyaksikan kadar pengambilan lebih baik, yang akan memberi manfaat kepada mereka, tetapi berkemungkinan menyebabkan projek yang tidak terjual terus tertekan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini, hasil perkongsian pandangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif HCS, Ishmael Ho.
Oleh itu, Kenanga Research mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah kerana ia terus dibebani oleh lebihan bekalan, pinjaman berhati-hati oleh institusi kewangan, keterbatasan kemampuan perumahan dan hutang isi rumah yang tinggi.
Firma itu berkata walaupun terdapat insentif kerajaan untuk Forest City menerusi zon kewangan khas, projek itu masih terlalu bercita-cita tinggi, memerlukan usaha tambahan untuk menarik lebih ramai orang.
“Memandangkan Country Garden, pemaju di Forest City berjuang untuk kelangsungan hidupnya, usaha drastik mungkin diperlukan dari kedua-dua China dan Malaysia, untuk memulihkan pembangunan tersebut yang kini terhenti,” jelasnya.
Sementara itu, meskipun Johor Bahru dijangka pulih dengan pemaju menambah perbankan tanah mereka di negeri tersebut, firma itu percaya ia mungkin proses beransur-ansur berikutan situasi hartanah tidak terjual yang berterusan.
Tambahan pula, firma itu mendapati bahawa pengambilan tanah tersebut secara beransur-ansur bergerak ke arah pinggir pusat bandar yang mungkin bergantung kepada pembangunan pengangkutan awam selanjutnya untuk meningkatkan kebolehcapaian.
“Pada pandangan kami, pertumbuhan Johor mungkin tidak bergantung semata-mata kepada RTS (terutamanya dengan anggaran tarikh siap dijangka menjelang 2026) dengan jangkaan yang lebih ketara mungkin dibina berdasarkan kemakmuran ekonomi negeri yang semakin baik,” tambahnya.
Pilihan utama Kenanga Research bagi sektor ini adalah Eco World Development Group Bhd (outperform; harga sasaran (TP): RM1.03) dan IOI Properties Group Bhd (outperform; TP: RM1.60) didorong penjanaan aliran tunai yang kukuh serta pembangunan yang disasarkan untuk jaminan kadar pengambilan. - DagangNews.com




