Pasaran muzik Melayu perlu diperluaskan ke rantau asia

LocalMusic
2 Sep 2026 • 5:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pasaran muzik Melayu perlu diperluaskan ke rantau asia

KUALA LUMPUR: Pasaran muzik Melayu tidak seharusnya hanya tertumpu di Malaysia, sebaliknya perlu diperluaskan secara lebih aktif ke rantau Asia, khususnya Asia Tenggara bagi membuka peluang baharu kepada penggiat muzik tempatan.

Menurut Luncai Emas, pihaknya melihat penyertaan kumpulan muzik Pitahati dalam AXEAN Festival 2026 di Bali pada 29 dan 30 Ogos ini sebagai antara langkah penting untuk membolehkan artis tempatan membina kehadiran di luar pasaran domestik.

Festival berkenaan menghimpunkan artis dari pelbagai negara bersama delegasi industri menerusi persembahan, sesi jaringan, forum, padanan perniagaan serta program pembangunan muzik.

Pengarah Luncai Emas, Datuk M. Nasir berkata, perkembangan muzik Melayu perlu dilihat dalam skop yang lebih luas dan tidak terbatas kepada pasaran tempatan semata-mata.

Menurutnya, hubungan sejarah serta budaya yang rapat antara negara-negara di rantau ini membuka ruang besar kepada muzik Melayu untuk membina kelompok pendengar baharu.

“Kalau kita bercakap tentang perkembangan muzik Melayu, kita perlu melihatnya sebagai satu pasaran yang lebih besar daripada Malaysia.

“Bahasa Melayu dan budaya serantau mempunyai sejarah dan hubungan yang panjang, jadi ada ruang untuk kita membina pendengar di Indonesia, Brunei, Singapura dan seterusnya ke pasaran Asia yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

M. Nasir berkata, usaha mengantarabangsakan muzik Melayu juga tidak bermaksud penggiat seni tempatan perlu mengubah identiti mereka semata-mata untuk memenuhi kehendak pasaran luar.

Sebaliknya, katanya, identiti muzik tempatan perlu dibawa ke peringkat antarabangsa dan diperkenalkan kepada kelompok pendengar baharu melalui strategi serta jaringan yang bersesuaian.

“Kita tidak perlu buang identiti untuk masuk ke pasaran lain. Sebaliknya, kita perlu cari cara untuk membawa identiti itu keluar dan memperkenalkannya kepada pendengar yang baharu.

“Peranan label adalah untuk membantu artis mencari ruang dan jaringan yang sesuai untuk perkara tersebut,” katanya.

Image from: Pasaran muzik Melayu perlu diperluaskan ke rantau asia

Sementara itu, Pitahati turut melihat rantau Asia sebagai pasaran yang mempunyai potensi besar untuk perkembangan muzik mereka.

Menurut kumpulan itu, kepelbagaian serta sejarah muzik Melayu mampu menarik perhatian pendengar lebih luas sekiranya karya tempatan diberi ruang untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Bagi kami, muzik Melayu memang ada banyak cabang dan sejarah yang menarik. Kalau kita hanya bergerak dalam lingkungan kita sendiri, mungkin banyak potensi pendengar yang kita tidak pernah sampai.

“Jadi, kami rasa penting untuk muzik dari Malaysia berada dalam lebih banyak festival, showcase dan program industri di rantau ini,” katanya.

AXEAN Festival merupakan antara platform yang memberi tumpuan kepada pertukaran muzik dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Sejak 2020, festival itu telah menampilkan lebih 200 artis dari 20 negara selain menarik penyertaan ratusan delegasi industri dari 32 negara.

Pengurus Produksi Luncai Emas, Keon Omar berkata, pembangunan pasaran muzik tidak boleh berlaku hanya menerusi satu persembahan atau penyertaan dalam sesebuah festival.

Sebaliknya, katanya, usaha tersebut memerlukan kesinambungan termasuk menerusi lebih banyak persembahan, kerjasama antara artis, pertukaran industri, promosi serta pembinaan komuniti pendengar di negara luar.

“Pembangunan pasaran bukan sesuatu yang boleh berlaku dengan satu persembahan atau satu festival. Ia memerlukan kesinambungan — lebih banyak persembahan, kerjasama antara artis, pertukaran industri, promosi dan usaha untuk membina komuniti pendengar di negara lain,” katanya.

Beliau turut berharap usaha memperkenalkan muzik Melayu ke peringkat antarabangsa akan mendapat lebih banyak sokongan daripada pihak kerajaan dan swasta.

“Kami berharap usaha-usaha seperti ini mendapat lebih banyak sokongan dan perhatian daripada pelbagai cabang kerajaan mahupun swasta supaya identiti muzik Melayu itu lebih dikenali di persada dunia,” katanya.

Bagi Pitahati, penyertaan mereka dalam AXEAN Festival menjadi satu lagi peluang untuk menguji penerimaan muzik mereka di hadapan khalayak yang lebih luas.

Pada masa sama, penyertaan itu juga dijangka membuka ruang kepada pembentukan jaringan dan kolaborasi baharu dengan penggiat muzik dari seluruh rantau Asia.

Luncai Emas berharap lebih ramai artis Malaysia akan diberi peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa secara strategik, sekali gus membantu membentuk ekosistem eksport muzik tempatan yang lebih kukuh, mampan dan berterusan.

The post Pasaran muzik Melayu perlu diperluaskan ke rantau asia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved