Bantuan kerajaan bawa penyanyi kita tembus dunia

LocalMusic
24 Aug 2026 • 8:11 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bantuan kerajaan bawa penyanyi kita tembus dunia

BAKAT muzik Malaysia tidak pernah tandus, namun tanpa ekosistem sokongan ampuh, ramai penyanyi tempatan berisiko terus terperangkap dalam gelanggang sendiri.

Penggiat industri muzik berpengalaman, Ong Peng Chu, berpandangan sudah tiba masa kerajaan memandang serius usaha mengeksport bakat dan karya muzik tempatan.

Katanya, kerajaan perlu melihat industri muzik sebagai sektor ekonomi kreatif yang berpotensi besar untuk menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan dan mengangkat nama Malaysia di persada dunia.

Ong yang lebih 45 tahun dalam industri muzik serta pernah menjalin hubungan profesional dengan 60 negara berpandangan sudah tiba masa kerajaan memandang serius usaha mengeksport bakat dan karya muzik tempatan dengan menyediakan sokongan lebih menyeluruh, bukan sekadar bantuan bersifat sekali lalu.

Katanya, sokongan kerajaan perlu diwujudkan dalam bentuk ekosistem yang mampu membantu artis dari peringkat pembangunan bakat, penghasilan karya, promosi sehinggalah pengedaran muzik ke pasaran antarabangsa.

“Sistem itu bukan hanya untuk pasaran lokal, bahkan turut mampu mempromosikan mereka ke arena luar negara,” ujarnya.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Industri Rakaman Malaysia itu berkata, kerajaan memang menyediakan kemudahan bantuan menerusi MyCreative Ventures bagi artis yang mahu menjalankan promosi di luar negara, namun skop dan kesinambungan sokongan perlu diperkasakan.

“Malah ramai penggiat penggiat seni muzik mahu memohon, cuma kemampuan untuk diberikan mungkin tidak dapat memenuhi permintaan semua orang,” ujarnya.

Katanya, lebih penting juga membina jaringan industri yang membolehkan artis tempatan berkolaborasi dengan pemuzik asing, sekali gus mencipta laluan dua hala untuk karya Malaysia menembusi pasaran baharu.

“Perlu ada kerjasama. Kalau artis dari Thailand bekerjasama dengan komposer Malaysia dan lagu kita dinyanyikan artis mereka, karya kita akan dipopularkan di negara mereka,” ulasnya.
Katanya, kejayaan penyanyi, Shila Amzah di China antara bukti paling jelas bahawa bakat Malaysia mampu menyeberangi sempadan apabila diberikan peluang, bimbingan dan strategi yang tepat.

Ujarnya, beliau pernah membawa Shila ke China dan melihat kesungguhan penyanyi itu menyesuaikan diri dengan pasaran tempatan, termasuk mempelajari bahasa Mandarin.

“Shila dahulu yang kita bawa ke China pun dia tidak sangka. Dia kata, ‘Saya budak Melayu, macam mana saya boleh popular? Saya kata boleh. Lihat kejayaannya sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ong, kejayaan di luar negara tidak bermakna artis tempatan perlu mengorbankan identiti atau bahasa sendiri, sebaliknya, mereka boleh menerusi proses adaptasi dan kolaborasi dengan artis dari negara sasaran.

“Selepas berjaya, dia tidak semestinya terus menyanyi lagu Cina. Kita boleh menyanyi dalam bahasa Melayu, kemudian lagu Melayu boleh diadaptasi kepada lagu Mandarin dan begitu juga sebaliknya.

“Kalau kita sanggup berkongsi IP (harta intelek), saya fikir karya itu akan pergi lebih jauh,” katanya.

Tambahnya, pengalaman mengajarnya bahawa Malaysia tidak kekurangan permata seni, sebaliknya apa diperlukan ialah tangan yang sanggup menggilap untuk membawa artis lokal keluar dari pasaran domestik.

The post Bantuan kerajaan bawa penyanyi kita tembus dunia appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved