
RAKYAT Negeri Sembilan meletakkan harapan yang tinggi supaya kerajaan baharu memberikan perhatian segera kepada beberapa perkara utama.
Pertama, kerajaan baharu mesti menangani kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat. Isu harga barangan, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, upah yang setimpal dan kelangsungan perniagaan kecil perlu diberikan keutamaan.
Pertumbuhan ekonomi negeri mestilah dirasai oleh rakyat di Seremban, Port Dickson, Nilai, Kuala Pilah, Jempol, Tampin, Jelebu dan Rembau, bukannya tertumpu di kawasan pembangunan tertentu sahaja.
Kedua, kerajaan perlu menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan berkualiti kepada golongan belia. Negeri Sembilan mempunyai kedudukan strategik berhampiran Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta memiliki potensi besar dalam sektor perindustrian, logistik, teknologi, pendidikan, pertanian moden, pelancongan dan ekonomi digital.
Potensi ini perlu diterjemahkan kepada pekerjaan bergaji tinggi dan peluang keusahawanan untuk anak tempatan. Ketiga, mutu perkhidmatan asas mesti dipertingkatkan.
Ketiga, masalah bekalan air, penyelenggaraan jalan, kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam, banjir, kutipan sampah, kemudahan kesihatan dan perumahan rakyat memerlukan penyelesaian yang terancang serta mempunyai tempoh pelaksanaan yang jelas.
Keempat, pembangunan mesti dilaksanakan secara seimbang antara bandar dan luar bandar.
Masyarakat peneroka, petani, pekebun kecil, peniaga mikro, masyarakat Orang Asli, golongan B40, warga emas, wanita, belia dan orang kurang upaya (OKU) tidak boleh dipinggirkan daripada arus pembangunan negeri.
Kelima, rakyat mengharapkan sebuah kerajaan yang menghormati kepelbagaian kaum, agama dan budaya serta menjunjung keunikan sistem Adat Perpatih.
Kerajaan negeri hendaklah menjadi kerajaan untuk seluruh rakyat tanpa mengira kawasan, kaum, agama, latar belakang ataupun kecenderungan politik.
Kerajaan baharu perlu mengutamakan perkara berikut:
– Memperkenalkan pelan menyeluruh untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup dan meningkatkan peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat.
– Menyemak semula projek pembangunan, konsesi, perolehan dan kontrak kerajaan negeri bagi memastikan ketelusan, nilai terbaik untuk wang serta ketiadaan konflik kepentingan.
– Melaksanakan tender terbuka sebagai kaedah utama perolehan kerajaan dan menerbitkan maklumat berkaitan kontrak, kos projek, syarikat penerima serta kemajuan pelaksanaan.
– Memperkukuh integriti pentadbiran dengan mewajibkan pengisytiharan harta, pengurusan konflik kepentingan dan pematuhan kod etika oleh Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan negeri.
– Melaksanakan audit bebas terhadap syarikat berkaitan kerajaan negeri bagi memastikan semua entiti tersebut benar-benar memberikan pulangan ekonomi dan manfaat sosial kepada rakyat.
– Menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan melalui pendigitalan, tempoh penyelesaian aduan yang ditetapkan dan penerbitan laporan prestasi secara berkala.
– Menyediakan pelan pembangunan yang seimbang antara daerah serta mengurangkan jurang kemudahan, pendapatan dan peluang ekonomi antara kawasan bandar dengan luar bandar.
– Mengadakan sesi libat urus berkala bersama rakyat, masyarakat sivil, persatuan penduduk, institusi pendidikan, golongan profesional dan komuniti perniagaan.
– Memperkukuh institusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui perbahasan yang berkualiti, jawatankuasa pilihan yang berfungsi dan pengawasan berkesan terhadap perbelanjaan kerajaan.
– Menetapkan petunjuk prestasi tahunan yang boleh dinilai secara terbuka supaya rakyat dapat mengukur pencapaian kerajaan berdasarkan hasil sebenar.
Kerajaan baharu mesti bersedia menerima kritikan dan memberikan ruang yang sewajarnya kepada pembangkang, media serta masyarakat sivil. –UTUSAN
ROSDI AMIR
Presiden Pertubuhan Asas Bina Negara (ASABINA)
The post Pasca PRN: Harapan pada kerajaan baharu appeared first on Utusan Malaysia.






