Pasport dengan tempoh sah lebih 10 tahun dihenti serta-merta

12 Aug 2026 • 11:38 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pasport dengan tempoh sah lebih 10 tahun dihenti serta-merta

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghentikan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Zakaria Shaaban berkata, keputusan itu dibuat susulan kekeliruan yang timbul apabila beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun menghadapi kesulitan ketika proses pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.

Menurutnya, JIM sebelum ini telah merujuk perkara berkenaan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan maklum balas diterima tidak menghalang pelaksanaan PMA melebihi tempoh 10 tahun.

“Kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.

“Bagi menangani kekeliruan ini, Jabatan menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, penetapan tersebut bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA selain mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan.

Dalam pada itu, Zakaria memaklumkan pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.

Beliau berkata, pemegang PMA yang terlibat juga akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport.

“JIM akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas ketika berada di luar negara.

“Jabatan komited memastikan pelaksanaan PMA sentiasa ditambah baik bagi memberikan kemudahan kepada rakyat serta memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

The post Pasport dengan tempoh sah lebih 10 tahun dihenti serta-merta appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved