Pasukan khas siasat isu sisa binaan dari Singapura dibuang di Malaysia

LocalEnvironment
11 Aug 2026 • 1:59 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pasukan khas siasat isu sisa binaan dari Singapura dibuang di Malaysia

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan menubuhkan pasukan khas secara bersepadu bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan kegiatan pembuangan sisa buangan binaan dari Singapura di beberapa lokasi di daerah Pontian.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pasukan berkenaan akan melibatkan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, pejabat daerah dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan segala dakwaan berkaitan aktiviti berkenaan dapat dikenal pasti dan disiasat secara menyeluruh, termasuk sekiranya kegiatan tersebut masih berlaku.

“Difahamkan operasi menambak sisa buangan bangunan dari Singapura sudah dihentikan, namun perkara ini tidak boleh berhenti di situ sahaja.

“Saya menerima laporan berhubung perkara itu termasuk di Sungai Karang, Pontian dan beberapa kawasan lain, siasatan masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan di premis barangan kitar semula haram di Jalan Kempas Lama-Seelong, di sini hari ini.

Mohd. Jafni berkata, sekiranya siasatan mendapati kegiatan berkenaan masih berlaku, pasukan penguat kuasa secara bersepadu akan digerakkan bagi mengenal pasti semua permasalahan yang timbul.

“Kita akan tubuhkan pasukan penguat kuasa secara bersepadu melibatkan PBT, polis, pejabat daerah, SWCorp dan agensi berkaitan supaya kita dapat mengenal pasti semua masalah yang timbul.

“Ini penting supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau pada masa sama memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menjalankan kerja-kerja yang melanggar undang-undang berkaitan pengurusan dan pelupusan sisa.

Katanya, sisa yang dibawa dari Singapura untuk dibuang di Johor tanpa permit atau kelulusan sewajarnya tidak sepatutnya berlaku kerana boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Kepada mereka yang melakukan kerja-kerja melanggar undang-undang, kita akan ambil tindakan.

“Sisa yang dibawa dari Singapura dan dibuang di Johor ini, kalau tidak mempunyai permit atau kelulusan sepatutnya, kita perlu ambil tindakan supaya perkara ini tidak menjadi kerisauan Bangsa Johor dan rakyat keseluruhannya,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pihak yang mengambil kesempatan menjadikan Johor sebagai lokasi pelupusan sisa secara tidak sah.

Katanya, tindakan penguatkuasaan secara bersepadu juga penting bagi memastikan isu berkenaan tidak berulang serta melindungi kepentingan penduduk dan alam sekitar negeri ini. – KOSMO! ONLINE

 

The post Pasukan khas siasat isu sisa binaan dari Singapura dibuang di Malaysia appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved