PATI bayar RM8,000 melalui potongan gaji

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PATI bayar RM8,000 melalui potongan gaji

KOTA BHARU – Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin memasuki Malaysia secara haram melalui perairan negeri ini perlu membayar sehingga RM8,000 kepada sindiket sama ada secara ansuran ataupun potongan gaji selepas mendapat pekerjaan.

Modus operandi itu dikesan digunakan oleh rangkaian penyeludupan migran semata-mata untuk mengaut keuntungan lumayan, sekali gus membuka ruang kepada risiko eksploitasi tenaga kerja golongan PATI.

Lebih menarik lagi, jumlah bayaran yang dikenakan bagi setiap individu adalah bergantung kepada negara asal dan lokasi tujuan PATI berkenaan.

Difahamkan, PATI warga Myanmar dikenakan bayaran tertinggi iaitu sekitar RM8,000.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kebanyakan PATI sanggup membayar wang kepada sindiket semata-mata untuk mendapatkan akses menyeludup masuk ke Malaysia.

“Kaedah itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada sindiket, malah menunjukkan golongan berkenaan terdedah kepada risiko eksploitasi tenaga kerja apabila mereka terikat ­dengan hutang atau bayaran perjalanan yang perlu dilangsaikan selepas bekerja.

“Bagaimanapun, mereka tiada pilihan dan terpaksa akur dengan kehendak sindiket atau terlepas peluang masuk ke sini,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, permintaan tinggi terhadap tenaga kerja dipercayai menjadi antara faktor yang menarik kemasukan PATI ke negara ini.

Katanya, kea­daan itu menunjukkan kegiatan penyeludupan migran bukan sekadar membabitkan kemasukan warga asing secara haram, sebaliknya telah membentuk satu rangkaian yang menghubungkan antara ejen, penyeludup dan pihak yang me­nawarkan pekerjaan kepada PATI.

Katanya, sindiket dipercayai mengambil kesempatan terha­dap permintaan tenaga kerja murah dengan menawarkan perkhid­matan membawa masuk warga asing menggunakan laluan yang tidak sah.

“Bagi sesetengah kes penyeludupan PATI, bayaran tidak perlu dijelaskan sepenuhnya sebelum perjalanan dilakukan.

“Sebaliknya, bayaran itu boleh dibuat atau diselesaikan melalui potongan gaji selepas PATI mendapat pekerjaan di negara ini,” dedahnya.

Beliau berkata, jumlah bayaran yang dikenakan sindiket adalah tidak sekata dan dianggarkan antara RM4,000 hingga RM8,000 bagi setiap warga asing, bergantung kepada kewargane­garaan, destinasi serta pakej perjalanan.

“Apabila bayaran dibuat secara potongan gaji, keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan mereka terikat dengan majikan atau pihak berkaitan untuk tempoh tertentu sehingga hutang perjalanan tersebut ­dilangsaikan.

“Keadaan ini boleh membuka ruang kepada eksploitasi kerana mereka mungkin takut kehila­ngan pekerjaan atau ditangkap jika melaporkan sebarang penganiayaan kerana masih mempunyai hutang dengan sindiket,” katanya.

Kosmo! pada 19 Ogos lalu ­melaporkan kawalan ketat di sepanjang Sungai Golok sejak hampir dua tahun lalu memaksa sindiket penyeludupan kini me­ngubah modus operandi mereka dengan beralih menggunakan per­airan terbuka untuk membawa masuk PATI ke negara ini.

Sindiket tersebut dikesan ­telah memperluas rangkaian mereka de­ngan menggunakan bot kecil melalui perairan Kuala Besar dan muara Sungai Kelantan sebagai la­luan alternatif utama untuk me­ngelak dari­pada dikesan pasu­kan keselamatan.

Beberapa kawasan pulau dan pesisir pantai turut dikenal pasti sebagai laluan penyeludupan ia­itu Pulau Besar, Pulau Gorek, Pulau Tengkorak, kawasan bawah Jambatan Pulau Ular, Jeti Kok Keli dan Jeti Kok Majid.

Sebaik tiba, PATI akan ditempatkan terlebih dahulu di rumah transit seperti rumah sewa, inap desa, hotel bajet dan kawasan penempatan sementara sebelum diambil ejen atau ‘transporter’ untuk dihantar ke lokasi tertentu yang sudah dijanjikan peluang pekerjaan.

Ahmad Radzi ketika mendedahkan perkara itu berkata, ruang pe­rairan laut yang luas dan terbuka memberikan kelebihan kepada sindiket untuk merancang pergerakan dan lebih bebas berbanding laluan sungai yang kini dikawal rapi.

“Faktor geografi, keadaan cuaca, keupayaan menggunakan bot kecil serta kewujudan rangkaian ejen tempatan menjadi punca utama sindiket memilih laluan laut kerana risiko ditangkap adalah lebih rendah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post PATI bayar RM8,000 melalui potongan gaji appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved