Pilih laluan laut bawa PATI elak dikesan

19 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pilih laluan laut bawa PATI elak dikesan

KOTA BHARU – Kawalan ketat di sepanjang Sungai Golok sejak hampir dua tahun lalu memaksa sindiket penyeludupan kini me­ngubah modus operandi mereka dengan beralih menggunakan per­airan terbuka untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Sindiket tersebut dikesan telah memperluas rangkaian mereka de­ngan menggunakan bot kecil melalui perairan Kuala Besar dan muara Sungai Kelantan sebagai la­luan alternatif utama untuk me­ngelak dari­pada dikesan pasu­kan keselamatan.

Beberapa kawasan pulau dan pesisir pantai turut dikenal pasti sebagai laluan penyeludupan ia­itu Pulau Besar, Pulau Gorek, Pulau Tengkorak, kawasan bawah Jambatan Pulau Ular, Jeti Kok Keli dan Jeti Kok Majid.

Sebaik tiba, PATI akan ditempatkan terlebih dahulu di rumah transit seperti rumah sewa, inap desa, hotel bajet dan kawasan penempatan sementara sebelum diambil ejen atau ‘transporter’ untuk dihantar ke lokasi tertentu yang sudah dijanjikan peluang pekerjaan.

Mendedahkan perkara itu, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ruang pe­rairan laut yang luas dan terbuka memberikan kelebihan kepada sindiket untuk merancang pergerakan dan lebih bebas berbanding laluan sungai yang kini dikawal rapi.

“Faktor geografi, keadaan cuaca, keupayaan menggunakan bot kecil serta kewujudan rangkaian ejen tempatan menjadi punca utama sindiket memilih laluan laut kerana risiko ditangkap adalah lebih rendah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan dan lokasi pendaratan PATI di Kelantan antaranya di sekitar Kuala Besar dan muara Sungai Kelantan, Pengkalan Kubor di Tumpat selain Semerak dan Tok Bali di Pasir Puteh.

Katanya, perubahan modus operandi itu dipercayai di­jalankan selepas penguatkuasaan larangan ketat rentas sempadan melalui pangkalan ha­ram yang mula dilaksanakan pa­da 1 Disember 2024.

“Siasatan mendapati, sindiket penyeludupan beralih daripada menggunakan laluan Sungai Golok kepada laluan laut bagi membawa masuk PATI ke negara ini,” tambahnya.

Ahmad Radzi berkata, sebahagian besar anggota sindiket turut menggunakan bot kecil untuk membawa PATI menyeberangi Su­ngai Golok, Thailand sebelum memasuki laluan laut ke lokasi pendaratan di Sungai Kelantan.

Katanya, pergerakan itu la­zimnya dilakukan pada waktu ma­­lam atau awal pagi bagi mengurangkan risiko dikesan pasukan keselamatan.

Katanya, selain laluan sungai dan darat, kawasan pesisir pantai, muara, pulau serta laluan air berhampiran sempadan Malaysia-Thailand turut digunakan sebagai laluan alternatif untuk me­nyeludup PATI.

“Siasatan mendapati, Kelantan bukan sekadar menjadi pintu masuk PATI, tetapi menjadi pu­sat transit sebelum mereka dihantar secara berperingkat ke negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata, PATI yang dibawa masuk akan ditempatkan di beberapa lokasi transit sebelum diambil ejen.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, lokasi transit tidak semestinya berada berhampiran kawasan sempadan, malah kebiasaannya terletak jauh dari lokasi pendaratan di Sungai Kelantan bagi mengelak dikesan dan ditangkap.

“Pada April lalu, PGA menahan seramai 20 warga Myanmar di Chabang Empat, Tumpat dan satu lagi kes melibatkan 52 PATI warganegara sama di kawasan Ketereh dan Melor.

“Kedua-dua lokasi tangkapan itu berada lebih 30 kilometer dari kawasan Sungai Kelantan, ­se­kali gus menunjukkan rangka­i­an transit sindiket bergerak jauh dari kawasan sempadan bagi me­ngelakkan kegiatan me­reka dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.

Ahmad Radzi memberitahu, rangkaian ‘transporter’ turut me­mainkan peranan penting apabila mereka dipercayai bertindak mengambil, mengiringi dan membawa PATI dari lokasi pendaratan ke rumah-rumah tran­sit.

Katanya, situasi itu menunjukkan Kelantan bukan menjadi destinasi akhir PATI, sebaliknya lebih berperanan sebagai koridor transit sebelum mereka dihantar ke lokasi pekerjaan di negeri-ne­geri lain.

The post Pilih laluan laut bawa PATI elak dikesan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved