
BUKIT MERTAJAM : Patriotisme tidak boleh bersifat bermusim, sebaliknya, ia perlu ‘hidup’ dalam setiap tindakan harian iaitu melalui integriti dalam tugas, memelihara perpaduan serta menyumbang kepada negeri mengikut peranan masing-masing.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehubungan itu, beliau mahu semua pihak khususnya rakyat Pulau Pinang mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan, pejabat dan kenderaan masing-masing bagi menyuburkan kembali semangat patriotik sempena sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.
“Biarlah bendera kita berkibar megah di setiap pelosok negeri sebagai simbol penyatuan hati kita semua dan marilah kita jadikan sambutan tahun ini sebagai medan memperbaharui tekad kita.
“Dengan semangat kebersamaan iaitu berpandukan nilai Malaysia Madani dan aspirasi ‘Penang 2030’, saya penuh percaya bahawa Pulau Pinang akan terus melangkah megah sebagai sebuah negeri yang maju, inklusif, berdaya saing, dan harmoni selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di dewan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, hari ini.
Turut diadakan sempena majlis pelancaran itu ialah acara penyerahan Jalur Gemilang serta pelepasan konvoi Jalur Gemilang Negeri Pulau Pinang yang melibatkan pelbagai agensi serta jabatan di peringkat negeri dan Persekutuan.
Tambah Kon Yeow, seluruh penduduk termasuk pemimpin parti-parti politik di peringkat negeri juga digesa untuk mengutamakan semangat perpaduan dan mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan ataupun tindakan yang boleh menjejaskan perasaan taat setia mereka kepada negara ketika ini.-UTUSAN
The post Patriotisme tidak boleh bermusim, perlu ‘hidup’ dalam tindakan harian appeared first on Utusan Malaysia.






