Masalah penyalahgunaan dadah di Kelantan disifatkan berada pada tahap membimbangkan sehingga hampir tiada kampung yang terlepas daripada gejala itu.
Tindakan Ketua Polis Kelantan strategi banteras penyalahgunaan dadah
Memetik laporan daripada Berita Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan, tindakan Polis Kelantan mengarahkan setiap ketua balai menahan sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari adalah sebahagian daripada strategi bagi membanteras jenayah dan penyalahgunaan dadah di negeri berkenaan.

Foto: Agensi Anti Dadah Kebangsaan Malaysia
Beberapa jajahan di Kelantan rekod penyalahgunaan dadah serius
Menurut beliau, langkah itu diambil selepas Kelantan merekodkan jumlah kes berkaitan dadah yang tinggi, selain negeri seperti Kedah, Perlis dan Terengganu turut berdepan cabaran sama.
Ujarnya, beberapa jajahan di Kelantan dikenal pasti mencatatkan jumlah penyalahgunaan dadah yang serius.
“Di Kelantan hampir tak ada kampung yang terlepas dari masalah ini. Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Machang, Rantau Panjang adalah jajahan yang mencatatkan angka mereka yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang yang serius.
“Antara penjara paling sesak di Malaysia adalah di Pengkalan Chepa, di situ kita letakkan mereka yang sudah sabit hukuman dan direman. Bagi setiap 100 penghuni penjara yang sesak itu, 75 daripadanya adalah mereka terbabit dadah.
“Satu lagi adalah Penjara Machang yang jadi penjara sabitan. Bagi setiap 100 penghuninya, 95 adalah masalah dadah,”
Foto: Agensi Anti Dadah Kebangsaan Malaysia
Saifuddin menambah, kebanyakan penghuni di dua penjara berkenaan didapati melakukan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dan pemilikan dadah.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan sama ada pendekatan yang dilaksanakan di Kelantan akan diperluaskan ke negeri lain bergantung kepada penilaian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
“Jadi apabila Ketua Polis Kelantan gesa ketua balai di bawahnya membuat gerakan menyeluruh, itu sesuai dengan tahap masalah itu di Kelantan ketika ini.
“Sama ada kaedah sama akan digunakan di negeri lain, itu saya serahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman untuk buat keputusan.
“Ini kerana mereka yang melakukan proses pemetaan, profiling dan mempunyai maklumat lengkap berkaitan kes dadah atau kekal status quo seperti sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Polis Kelantan memperkenalkan pelan strategi baharu yang mewajibkan setiap ketua balai menahan sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari bermula 15 Julai lalu.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh bagi mengekang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri berkenaan.
Sumber: Berita Harian (M Hifzuddin Ikhsan)







