Patung gergasi firaun ditemukan di Mesir

16 Oct 2026 • 12:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Patung gergasi firaun ditemukan di Mesir

KAHERAH: Tersembunyi di bawah sebuah perkampungan sunyi di Mesir selama 3,000 tahun, dua patung gergasi yang menggambarkan antara firaun paling terkenal dalam sejarah berjaya ditemukan.

Penemuan luar biasa itu dibuat di Behbeit el-Hagar, sebuah kampung di Delta Nil, Mesir, kira-kira 100 kilometer ke utara Kaherah, selepas seorang petani terlihat bongkah batu misteri di ladang­nya, baru-baru ini.

Mengesyaki bongkah itu mungkin tinggalan purba, beliau memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang segera menghantar ahli arkeo­logi untuk memeriksa lokasi berkenaan.

Kerja-kerja ekskavasi me­nemukan sisa-sisa dua patung diraja bersaiz gergasi, dengan salah satunya disahkan menggambarkan Firaun Ramses II.

Patung kedua juga dipercayai menggambarkan firaun legenda itu, yang merupakan antara pe­merintah teragung Mesir purba.

“Misi arkeologi Mesir berjaya menemukan  dua patung diraja bersaiz gergasi dalam operasi ekskavasi penyelamatan yang dijalankan di kampung Behebat al-Hijara, wilayah Gharbia.

“Salah satu patung itu menggambarkan Ramses II, manakala satu lagi juga dipercayai milik firaun berkenaan,” menurut Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir.

Antara penemuan paling me­ngagumkan ialah kepala patung gergasi Ramses II yang berukuran kira-kira 1.6 meter tinggi yang diukir memakai mahkota berganda yang melambangkan penyatuan Mesir Hulu dan Mesir Hilir.

Pakar menganggarkan monumen itu mungkin setinggi kira-kira 8.5 meter, termasuk tapak­nya, ketika masih lengkap.

Patung kedua lebih besar, dengan panjang kira-kira 2.4 meter tetapi  bahagian kaki dan bawah patung itu sudah tiada.

Ahli arkeologi percaya pe­nemuan itu mampu memberikan petunjuk baharu yang bernilai mengenai kompleks kuil purba yang pernah berdiri di kawasan berkenaan dan pe­ranannya semasa pemerintahan Ramses II. – AGENSI

 

The post Patung gergasi firaun ditemukan di Mesir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved