
GEORGE TOWN – Seorang penuntut wanita Universiti Sains Malaysia (USM) ditemukan maut dipercayai terjatuh dari bangunan hostel pelajar berkenaan di Gelugor di sini, pagi tadi.
Mayat mangsa berusia 21 tahun itu dijumpai dalam keadaan terlentang di atas simen bawah blok terbabit oleh petugas kebersihan, kira-kira pukul 7.25 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Luat, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berlaku daripada pihak USM, pada pukul 8.40 pagi tadi.
Menurutnya, hasil siasatan pihak polis di tempat kejadian mendapati si mati merupakan seorang penuntut yang menetap di asrama tersebut.
“Si mati disyaki terjatuh dari bangunan asrama dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan mendapati tiada terkesan sebarang unsur jenayah dan pemeriksaan lanjut pada tubuh badan si mati mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan luaran pada tubuh badannya disyaki akibat jatuh dari tempat tinggi,” katanya di sini, tadi.
Beliau memberitahu, mayat si mati dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) telah dibuka untuk menjalankan siasatan terhadap kes tersebut. -KOSMO! ONLINE
The post Penuntut USM maut jatuh hostel appeared first on Kosmo Online.






