SHAH ALAM - Pemuda Pas Malaysia menyindir penganjuran Program Temu Anwar yang melibatkan ratusan pelajar politeknik dan kolej komuniti di Negeri Sembilan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berlangsung.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, penganjuran program itu disifatkan 'tepat pada masanya' kerana diadakan ketika PRN, selain mendakwa ia memberi gambaran seolah-olah jentera kerajaan dimanfaatkan untuk kepentingan politik parti pemerintah.
"Kali ini saya setuju dengan Madani. Memang sangat elok program begini. Tepat pada masanya.
"Program ini penting, terutamanya waktu Pilihan Raya Negeri Sembilan, waktu inilah jentera kerajaan perlu diguna sebaik mungkin untuk manfaat politik parti dalam kerajaan, pegawai kerajaan pun tak ada masalah buat kerja-kerja parti politik ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, tular surat daripada Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi bertarikh 28 Julai yang memohon Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mempertimbangkan penyertaan pelajar daripada institusi di Negeri Sembilan ke Program Temu Anwar.
Program itu dijadual berlangsung pada Rabu bermula jam 1 petang hingga 6 petang di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Negeri Sembilan.
Berdasarkan surat berkenaan, seramai 360 peserta daripada lima kolej komuniti dan dua politeknik akan dihantar ke program itu menggunakan tujuh buah bas, dengan kos pengangkutan ditanggung oleh pihak penganjur.
Mengulas lanjut, Afnan turut menyindir supaya semua pelajar sekolah dan mahasiswa universiti turut dikerahkan menghadiri program berkenaan.
"Patutnya angkut sekali semua pelajar sekolah dan mahasiswa universiti, kerahkan pergi ke program ini.
"Kalau tak cukup tempat, boleh buat atas jalan raya. Itu kemahiran YB Timbalan Menteri KPT dulu-dulu," katanya.






