Pemuda PAS dan Pemuda UMNO akan duduk bersama bagi memperincikan bentuk aktiviti yang boleh digerakkan dalam usaha menjayakan penyatuan kedua-dua pihak.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, usaha itu tidak seharusnya terhenti sekadar pertemuan atau berhimpun bersama, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi pelbagai aktiviti yang mampu mengukuhkan penyatuan.
“Insya-Allah saya rasa perkara ini akan kami duduk bersama bincang dengan lebih teliti bagaimana kita nak gerakkan aktiviti-aktiviti yang ke arah menjayakan penyatuan rumah.
“Bukan setakat kita nak berhimpun tapi kita nak buat pelbagai perkara yang akhirnya akan menyatukan rumah.
“Bukan setakat dalam pilihan raya bahkan sampai bila-bila insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO, di sini, hari ini.
Afnan berkata, kehadiran Pemuda PAS ke perhimpunan berkenaan merupakan kunjungan balas selepas Pemuda UMNO menghadiri perhimpunan mereka minggu lalu.
Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan kedua-dua pihak menyambut usaha yang digerakkan ke arah penyatuan.

Dalam hantaran di Facebook, Afnan turut menegaskan penyatuan ummah tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut politik, sebaliknya mempunyai kaitan dengan masa depan negara.
Beliau berkata, walaupun kedua-dua pihak datang daripada parti, warna dan latar yang berbeza, kepentingan rakyat dan negara perlu menjadi asas untuk mereka duduk bersama, berbincang serta mencari titik persamaan.
“Kita mungkin datang daripada parti, warna dan latar yang berbeza. Namun, apabila melibatkan kepentingan rakyat dan negara, mesti ada keberanian untuk duduk bersama, berbincang dan mencari titik persamaan,”kata beliau.

Menurutnya, usaha penyatuan yang dibina bukan untuk kepentingan mana-mana pihak semata-mata, sebaliknya demi kebaikan negara dan masa depan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai persediaan PAS dan UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Afnan berkata perbincangan berhubung usaha berkenaan masih berlangsung dan beliau menjangkakan perkembangan lebih positif.
Beliau turut mengaitkan hasil daripada usaha berkenaan dengan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mengulas kemungkinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama pada PRN Melaka, Afnan berkata beliau menghargai pendirian yang dinyatakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung keengganannya untuk bersama PH.
Beliau menyifatkan pendirian itu sebagai sesuatu yang serius dan tegas, selain menunjukkan kesungguhan untuk meneruskan usaha penyatuan Melayu-Islam.
Terdahulu, Akmal dalam ucapan Ketua Pemuda pada perhimpunan berkenaan menegaskan beliau tidak mahu bertanding pada PRN Melaka akan datang sekiranya UMNO bekerjasama dengan PH.






