KUALA LUMPUR - Perbincangan kerjasama antara Pas dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diyakini lebih baik daripada Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, keyakinan itu bersandarkan perbincangan positif yang berlangsung antara kedua-dua pihak.
“Perbincangan (kerjasama PRN Melaka) masih berlangsung dan saya rasa ia akan lebih positif daripada di Negeri Sembilan dan juga di Johor.
“Insya-ALLAH semua itu adalah kejayaan-kejayaan yang akan membuahkan hasil dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Pemuda UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan perbincangan antara kedua-dua pihak bagi menghadapi PRN di negeri berkenaan.
Sementara itu, ditanya mengenai ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyentuh mengenai penyatuan, Afnan Hamimi mengakui beliau ‘senang hati’ dengan kenyataan tersebut.
Menurutnya, Pas juga bersedia menyahut rancangan Muhammad Akmal bagi mengadakan perhimpunan pelbagai aktiviti melibatkan sayap pemuda kedua-dua parti berkenaan.
Jelasnya, beliau akan berbincang dengan lebih teliti bersama ketua sayap pemuda UMNO itu bagi menjayakan agenda tersebut.
“Salam yang dihulur sama-sama kita sahut untuk membina penyatuan dan saya rasa senang hati dalam ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO telah menyebut dan menyahut seruan ke arah penyatuan dan sama-sama akan menggerakkan satu himpuan gerakan ummah.
“Insya-ALLAH kami akan duduk bersama bincang lebih teliti bagaimana kita hendak gerakkan aktiviti-aktiviti ke arah menjayakan penyatuan ummah,” katanya.





