
MELAKA: Usaha meningkatkan kemahiran golongan belia India menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi antara tumpuan dalam menangani isu peluang pekerjaan dan pendapatan masyarakat itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Azman Abidin berkata, golongan muda termasuk masyarakat India di kawasan itu berdepan cabaran mendapatkan peluang pekerjaan dengan pendapatan mencukupi, walaupun kawasan itu mempunyai kawasan perindustrian serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurutnya, usaha mempertingkat latihan kemahiran perlu diberikan perhatian bagi membolehkan golongan muda memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Masyarakat India muda, masyarakat muda di sini kebanyakannya juga ada masalah yang sama iaitu peluang pekerjaan.
“Kita tahu bahawa banyak PKS, kawasan perindustrian di sini. Cuma peluang pekerjaan dan juga pendapatan mereka masih belum mencukupi,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni masyarakat India di Paya Rumput di sini hari ini.
Menurut Azman, cadangan menjadikan Melaka sebagai pusat kecemerlangan TVET seperti yang disentuh dalam belanjawan sebelum ini boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kemahiran golongan muda di negeri ini.
“Jadi, kita nak lihat mungkin salah satu yang kita boleh lakukan adalah selepas ini kita tingkatkan dari segi kemahiran.
“Sebab atas dasar itu kerajaan melihat bahawa Melaka ini, dalam bajet yang lepas, kita nak jadikan satu tempat pusat kecemerlangan untuk TVET.
“Kita nak beri latihan untuk kemahiran kepada masyarakat, utamanya golongan muda di negeri Melaka amnya, khususnya di Paya Rumput ini,” katanya.
Beliau berkata, usaha tersebut juga perlu dilihat sebagai langkah jangka panjang untuk mengurangkan penghijrahan golongan muda keluar dari Melaka bagi mencari peluang pekerjaan.
“Jadi kita lihat secara jangka panjang, itu antara isu yang saya kena lihat, bagaimana kita nak kurangkan migrasi orang muda keluar Melaka ini,” katanya. – UTUSAN
The post Paya Rumput kawasan industri tetapi gaji kecil appeared first on Utusan Malaysia.






