SAMBUTAN luar biasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang telah mencatatkan kehadiran lebih sejuta pengunjung dalam tempoh hanya empat hari memberikan gambaran jelas bahawa acara berteraskan ilmu masih mempunyai daya tarikan yang sangat kuat dalam kalangan masyarakat.
Pencapaian itu menjadi lebih signifikan apabila dibandingkan dengan Festival Muzik Air Rain Rave 2026 di Bukit Bintang pada bulan lalu.
Festival berkenaan dilaporkan berjaya menjana pendapatan pelancongan sekitar RM200 juta dan menarik kira-kira 180,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari.
Walaupun angka tersebut menunjukkan potensi ekonomi yang memberangsangkan, jumlah kehadirannya masih jauh lebih rendah berbanding PBAKL yang masih berlangsung sehingga 7 Jun ini.
Perbezaan utama antara kedua-dua acara terletak pada sifat dan kelompok sasarannya.
PBAKL menawarkan platform yang lebih inklusif dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak hingga warga emas. Ia menjadi destinasi keluarga yang sesuai untuk semua tanpa mengira latar belakang, agama atau usia.
Jika festival muzik memberi manfaat dari sudut hiburan dan pelancongan jangka pendek, pesta buku pula menyumbang kepada pembangunan modal insan negara dalam jangka panjang.
Pembelian buku, penyertaan dalam forum ilmu, sesi bersama penulis dan pelbagai aktiviti pendidikan yang berlangsung sepanjang PBAKL membantu memupuk budaya membaca serta meningkatkan literasi masyarakat.
Dalam konteks ekonomi pengetahuan yang semakin menjadi tunjang daya saing global, pelaburan terhadap budaya membaca dan pengembangan ilmu merupakan aset strategik yang jauh lebih berkekalan.
PBAKL juga dilihat berjaya menyatukan masyarakat melalui aktiviti yang bersifat mendidik dan membina.
Acara itu juga jarang mencetuskan polemik sosial atau sensitiviti agama kerana kandungannya lebih tertumpu kepada pendidikan, penerbitan dan perkongsian ilmu.
Perkara ini tidak bermakna penganjuran festival muzik tidak mempunyai nilai kerana ia berpotensi merangsang sektor pelancongan, perhotelan dan ekonomi setempat, khususnya dalam menarik pelancong antarabangsa.
Namun, apabila dibandingkan dari sudut jumlah penyertaan, penerimaan masyarakat dan impak sosial jangka panjang, kejayaan PBAKL 2026 memberikan mesej yang jelas bahawa rakyat Malaysia masih meletakkan ilmu, pendidikan dan budaya membaca sebagai keutamaan.
Hakikat bahawa lebih sejuta pengunjung sanggup meluangkan masa menghadiri pesta buku ketika musim cuti sekolah membuktikan bahawa acara berasaskan ilmu mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri yang sukar ditandingi oleh festival hiburan semata-mata.
Kejayaan ini juga memberi isyarat bahawa pembangunan masyarakat berilmu terus mendapat tempat dalam jiwa rakyat Malaysia.






