PBS sahkan sokong Star di Tambunan

LocalPolitics
5 Nov 2025 • 4:55 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAMBUNAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tambunan mengesahkan akan memberi sokongan penuh kepada calon Parti Solidariti Tanah Airku (Star) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan pada pilihan raya negeri akan datang.

Naib Presiden 1 PBS Tambunan, David Benedict, berkata keputusan tersebut dibuat atas dasar kepercayaan terhadap visi dan misi calon Star, yang dianggap mempunyai semangat perjuangan yang jelas untuk membela hak rakyat Sabah.

“Kami di PBS Tambunan akan membantu calon Star di Tambunan. Ini kerana beliau mempunyai visi dan misi yang kukuh dalam perjuangannya. Walaupun ada pihak menggelarnya ‘katak’, hanya kami dan pejuang MA63 yang benar-benar memahami hala tuju perjuangan beliau,” jelas David.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa PBS menerima sebarang bayaran atau imbuhan bagi memberi laluan kepada Star untuk bertanding di Tambunan.

“Tidak ada sebarang permainan politik atau isu bayar-membayar dalam rundingan ini. Kami membantu dengan ikhlas kerana percaya kepada kejujuran dan keupayaan calon tersebut dalam memperjuangkan kepentingan rakyat,” tegasnya.

David menambah, keputusan itu juga merupakan hasil perbincangan dalaman parti yang melihat kepentingan kerjasama di peringkat daerah lebih utama daripada persaingan sesama sendiri.

Penjelasan beliau sekali gus menutup segala persoalan dan spekulasi masyarakat mengenai hubungan PBS dan Star di Tambunan sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Presiden Star, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, menyambut baik keputusan PBS Tambunan itu dan menzahirkan penghargaan atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan.

“Saya menyambut baik dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh PBS. Ini satu langkah yang mencerminkan semangat perpaduan dan keikhlasan dalam perjuangan untuk rakyat. Saya akan terus melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Jeffrey turut menegaskan bahawa kerjasama antara parti komponen di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus diperkukuh demi kestabilan politik serta kemajuan Sabah.

“Kita harus bergerak seiring sebagai satu pasukan, bukan berpecah kerana perbezaan kecil. Matlamat kita sama — membangunkan Sabah dan memastikan suara rakyat terus didengari,” tambah beliau.

Dengan sokongan terbuka daripada PBS Tambunan ini, suasana politik di daerah tersebut dijangka bertambah dinamik menjelang pilihan raya, malah tidak mustahil satu lagi sejarah baharu bakal tercipta di Tambunan.