
TAWAU: Bekas Ketua Setiausaha Persekutuan Datuk Ruji Ubi mengesahkan kesediaannya untuk diangkat sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Merotai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas spekulasi bahawa dirinya mungkin menjadi calon Ketua Menteri.
Pendiriannya itu sebagai reaksi terhadap sokongan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden PKR merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), dalam misi menewaskan penyandang kerusi Merotai, Sarifuddin Hata daripada Parti Warisan.
Setakat ini, Anwar belum menyatakan secara terbuka siapa bakal calon Ketua Menteri sekiranya PH memperoleh majoriti kerusi, sama ada dengan atau tanpa sokongan rakan gabungan lain. PH kini memiliki kelebihan kerana turut mendapat sokongan daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
Ruji berkata pasukannya telah mula menjalankan gerak kerja sejak 24 Julai lalu dengan turun padang bertemu pengundi serta menubuhkan bilik gerakan.
“Saya bekerja keras dari pagi hingga lewat malam, bertemu masyarakat di Pasir Putih, Sungai Imam dan Sungai Haji Matahir termasuk di Hotspring sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata pimpinan utama parti juga turun ke Merotai, termasuk Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Timbalan Presiden serta Naib Presiden.
“Saya mahu menjadi penghubung antara Merotai dan Putrajaya. Jadi saya harap rakyat Merotai dapat mengambil peluang ini dan membalas kepercayaan Perdana Menteri dengan memberi kemenangan kepada PH,” katanya kepada pemberita semasa majlis ramah mesra komuniti di Hotspring yang turut dihadiri Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Bekas ketua setiausaha di tiga kementerian persekutuan itu percaya Sabah memerlukan pemimpin yang bukan sekadar pandai bercakap tetapi juga mampu bekerja bagi memastikan peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan dimanfaatkan sepenuhnya.
Tegasnya, peruntukan sebanyak RM6.9 bilion yang diluluskan oleh Perdana Menteri untuk Sabah dalam Belanjawan 2026 memerlukan wakil rakyat yang berkeupayaan melaksanakan projek demi mencapai agenda pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Walaupun ada yang menganggap saya orang baharu namun saya berpengalaman dalam urusan pembangunan serta pelaksanaan projek penting di seluruh negeri, jadi saya amat yakin mampu menang di Merotai,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan sebagai sangat baik.
Ruji berkata dua projek yang dirancang semasa beliau menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri akan dilaksanakan tidak lama lagi — iaitu projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kalabakan bernilai RM150 juta yang telah dimulakan dengan majlis pecah tanah pada Ahad lalu serta projek IPD Nabawan yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
