
Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyokong penuh cadangan parti tempatan seharusnya memimpin kerajaan negeri, di tengah-tengah perbincangan kemungkinan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Majungki menyifatkan GRS sebagai platform terbaik dan paling terbukti mencapai visi itu selain mencadangkan komponen terbabit bertanding secara solo pada PRN jika perlu.
“Sokongan ini selaras pendirian PBS sejak penubuhannya: memperjuangkan suara rakyat Sabah melalui kepimpinan yang lahir dari negeri ini sendiri,” katanya dalam kenyataan, Selasa.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});PBS, salah satu daripada lapan parti komponen dalam GRS, kini memegang tujuh daripada 42 kerusi dikuasai gabungan itu di DUN Sabah.
Jumaat lalu, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata gabungan itu akan bertanding secara solo dalam PRN jika PH dan BN memuktamadkan pakatan pilihan raya mereka.
Beliau juga menegaskan, parti tempatan Sabah seharusnya menjadi tulang belakang dan peneraju kerajaan negeri.
Namun, dua hari kemudian Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan ketiga-tiga gabungan itu akan dapat mencapai persetujuan bagi menghadapi PRN.
Anwar, yang juga perdana menteri berkata beliau menyokong penuh Hajiji untuk mengetuai rundingan mengenai pakatan pilihan raya antara GRS, PH dan BN.
Hajiji pula menyatakan kerjasama antara GRS dan PH Sabah berjalan lancar.
Julita menegaskan penting untuk memastikan masa depan Sabah dibentuk berdasarkan aspirasi rakyatnya sendiri, dengan menekankan kestabilan, kecekapan dan keadilan dalam tadbir urus.
Beliau berkata, parti tempatan mempunyai kekuatan tersendiri berpunca daripada kefahaman mendalam terhadap masyarakat berbilang budaya di Sabah.
Katanya, PBS turut menyeru seluruh rakyat Sabah, khususnya golongan muda dan masyarakat luar bandar, agar menjadikan PRN17 sebagai peluang untuk memilih kepimpinan yang benar-benar memahami, mendengar dan berkhidmat dengan ikhlas demi kemajuan negeri tercinta.
“Inilah masanya kita berdiri teguh sebagai rakyat Sabah. Parti tempatan bukan sekadar pilihan, ia satu keperluan untuk menjamin masa depan negeri yang adil, makmur dan berdaulat, dan GRS adalah wadah terbaik ke arah itu,” katanya.
