
Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menyokong kestabilan Kerajaan Negeri, selain terus menyuarakan kepentingan Sabah.
Presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menegaskan bahawa PBS akan kekal sebagai rakan yang setia, konstruktif dan berprinsip dalam GRS, sambil mengekalkan identiti serta pendirian parti berhubung isu termasuk MA63, pembangunan luar bandar, pendidikan, ekonomi dan peluang pekerjaan.
“Kami mahukan GRS yang kuat dan pada masa sama, kami mahukan PBS yang kuat. GRS yang kuat memerlukan parti komponennya yang kuat. PBS yang kuat akan memperkukuh GRS.
“Kesetiaan kepada gabungan tidak bermakna kami kehilangan identiti. Kami bersama GRS, tetapi kami kekal sebagai PBS.
“Politik tanpa integriti akhirnya akan kehilangan kepercayaan rakyat. PBS mesti menjadi parti yang pemimpinnya dihormati kerana boleh dipercayai, bertanggungjawab, telus, rajin dan dekat dengan rakyat,” katanya.
Dalam ucapannya, Joachim turut berkata PBS tidak akan meninggalkan perjuangan asalnya berhubung hak Sabah terhadap 40 peratus hasil.
“Hak Sabah kekal sebagai teras perjuangan kita. Daripada 29 perkara yang dibincangkan melalui platform rasmi MA63, 13 telah diselesaikan sepenuhnya.
“Hak Sabah bukan hadiah. Hak Sabah adalah hak yang dipersetujui ketika Malaysia dibentuk.
“Kami akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan apabila kerjasama sedemikian memberi manfaat kepada Sabah, tetapi PBS akan kekal berani menyatakan pendirian apabila kepentingan dan hak Sabah perlu dipertahankan.
“PBS akan terus menjadi suara yang aktif, relevan dan konsisten dalam mempertahankan hak dan kepentingan Sabah.
“Kita tidak mahu MA63 sekadar menjadi slogan politik. Kita mahukan pelaksanaan dan hasil nyata yang dapat dirasai rakyat,” katanya.
Joachim turut berkata PBS mesti berubah sekiranya mahu kekal relevan dalam arena politik.
“Transformasi tidak bermakna meninggalkan tradisi atau melupakan sejarah. Transformasi bermakna menggunakan pengalaman lalu melalui pendekatan baharu.
“Pertama, kita telah membuat perubahan terhadap Perlembagaan PBS dengan menetapkan bahawa Persidangan Perwakilan PBS akan diadakan sekali setiap tiga tahun. Acara tahunan PBS akan diadakan bersempena sambutan ulang tahun PBS setiap Mac.
“Sambutan itu boleh diadakan sama ada melalui konvensyen PBS atau seminar berkala. Saya menyerahkannya kepada anggota Majlis Tertinggi dan ketua-ketua bahagian.
“Kedua, kita mesti mendigitalkan PBS. Sistem keahlian, pangkalan data, komunikasi antara kepimpinan pusat, bahagian dan cawangan, serta pengurusan pilihan raya mesti menggunakan teknologi dan data secara lebih sistematik.
“Ketiga, kita mesti membangunkan generasi baharu pemimpin. Kita perlu memperkukuh program seperti Kadet Politik atau Akademi Kepimpinan PBS untuk mengenal pasti dan melatih pemimpin muda dalam politik, dasar awam, komunikasi, ekonomi dan pengurusan pilihan raya.
“Keempat, kita mesti memperkukuh Pemikir PBS.
“Parti politik moden tidak boleh sekadar bertindak balas terhadap isu. Kita mesti berupaya menawarkan penyelesaian. PBS perlu membangunkan dasar dan idea mengenai MA63, ekonomi Sabah, pendidikan, peluang pekerjaan, kos sara hidup, sekuriti makanan, pembangunan luar bandar, teknologi, tenaga dan masa depan generasi muda,” katanya.
Joachim turut menggesa generasi baharu memahami dan menghargai perjuangan parti.
“Kita tidak boleh mengharapkan golongan muda menyokong PBS hanya kerana sejarahnya pada 1985. Mereka mahu tahu: Apa yang boleh PBS lakukan untuk masa depan mereka?“Kita mesti bercakap mengenai pendidikan, TVET, pekerjaan, gaji, perumahan, keusahawanan, ekonomi digital, kecerdasan buatan, ekonomi gig dan peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik di Sabah.
“Pemuda dan Beliawanis PBS mesti diberi ruang untuk menjadi pencetus idea dan pemimpin, bukan sekadar pelaksana program.
“Kita mahu mereka belajar daripada pengalaman pemimpin terdahulu, tetapi pada masa sama, mereka mesti diberi ruang untuk membawa pendekatan baharu.
Generasi muda adalah aset terbesar parti. Kita perlu memastikan mereka menerima pendidikan berkualiti, peluang untuk mengembangkan kemahiran, kesedaran politik dan ruang untuk mengambil bahagian secara aktif dalam proses demokrasi,” katanya.






