Bersama kekal gerak solo di PRN Melaka

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 8:14 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bersama kekal gerak solo di PRN Melaka

PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) memuktamadkan untuk kekal solo dan tidak menyertai mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pendirian itu kekal meskipun tiada parti memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian selepas PRN kelak.

Katanya, Bersama juga memilih untuk bertanding atas kekuatan sendiri dan tidak mahu terikat dengan mana-mana gabungan politik.

“Kami sudah cakap, kami bersendirian. Kalau pun me­nyumbang beberapa kerusi dan tidak ada parti ada majoriti, pendirian Bersama sebolehnya tidak terlibat dengan kerajaan.

“Kami tidak kemaruk macam parti lain yang berebut untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bersama sebelum ini me­ngumumkan 15 calon untuk bertanding pada PRN Melaka, termasuk di Kuala Linggi, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Sungai Udang, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Telok Mas, Bemban dan Serkam.

Nik Nazmi berkata, keputusan itu merupakan pendirian Bersama untuk memberikan pilihan kepada pengundi yang mungkin kecewa dengan parti-parti sedia ada.

“Realitinya, kami parti baharu. Nak sampai menang semua kerusi belum lagi. Tetapi bagi kami, ia untuk memberi satu pilihan kepada pengundi yang mungkin rasa kecewa dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) ataupun Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Nik Nazmi berkata, Bersama melihat kecenderungan parti politik untuk bekerjasama tanpa memberikan mesej jelas kepada rakyat menjadi antara perkara yang mahu dielakkan Bersama.

Katanya, kempen Bersama di Melaka sudah digerakkan lebih awal dengan pelbagai program bersama masyarakat, termasuk kenduri dan aktiviti sukan.

“Hampir setiap minggu ada kenduri bersama, program sukan dan kempen yang menggunakan trak kami,” katanya.

Jelasnya, penyertaan Bersama bukan semata-mata untuk mengejar jumlah kerusi, sebaliknya sebagai usaha mewujudkan satu lagi saluran kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan serta teguran terhadap kerajaan negeri.

“Bukan soal kalah atau apa, andai kata lahir kerusi sulung Bersama di Melaka, ia menunjukkan kami akan menjadi lebih serius dalam membawa suara rakyat di Melaka dan seterusnya ke negeri-negeri lain,” katanya.-UTUSAN.

The post Bersama kekal gerak solo di PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved