
KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan segera terhadap pihak yang menyebabkan gangguan bunyi, termasuk menyita peralatan audio dan sistem karaoke serta mengeluarkan kompaun.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, tindakan itu boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran syarat permit atau penganjuran acara tanpa kelulusan.
Beliau berkata, PBT turut menyediakan jadual penugasan penguatkuasaan di luar waktu pejabat, termasuk pada waktu malam dan hujung minggu bagi menangani aduan gangguan bunyi.
Menurutnya, pemantauan berterusan berdasarkan aduan awam secara masa nyata turut dilaksanakan, selain operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pegawai penguat kuasa kita di peringkat PBT ada jadual penugasan penguatkuasaan teratur, kita panggil on-call walaupun di luar waktu pejabat.
“Penugasan syif di luar waktu ini adalah untuk mengendalikan isu-isu yang dibangkitkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai keberkesanan penguatkuasaan di luar waktu pejabat, khususnya bagi menangani gangguan bunyi pada waktu malam dan hujung minggu.
Aiman Athirah berkata, Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 membolehkan notis menghentikan kacau ganggu dikeluarkan serta-merta kepada pihak bertanggungjawab.
Katanya, kerjasama dengan PDRM juga membolehkan tindakan diambil mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Selain itu, PBT boleh membatalkan lesen perniagaan atau mengambil tindakan pendakwaan terhadap premis inap desa yang melanggar syarat lesen atau berulang kali menerima aduan berkaitan ketenteraman awam.
Beliau berkata, PBT turut menetapkan had waktu operasi aktiviti hiburan berhampiran kawasan sensitif seperti hospital, sekolah, kawasan perumahan dan rumah ibadat, lazimnya sehingga pukul 11 malam atau tengah malam.
Zon penampan antara 100 hingga 300 meter dari kawasan sensitif juga ditetapkan bagi mengawal penganjuran aktiviti hiburan.- KOSMO! ONLINE
The post PBT boleh sita peralatan audio, kompaun gangguan bunyi serta merta appeared first on Kosmo Online.






